Dua mangsa cedera akibat rusuhan membabitkan sekumpulan lelaki yang kejadian itu turut tular di media sosial.

GEORGE TOWN – Seramai 13 lelaki tempatan termasuk tiga individu bawah umur ditahan polis bagi membantu siasatan kes merusuh menggunakan senjata di hadapan SJK(C) Kong Min Cawangan Kedua Ayer Itam di sini, semalam.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Dennis Lim Kwang Keng berkata, polis menerima maklumat berhubung kejadian itu kira-kira jam 2.45 pagi semalam yang membabitkan dua lelaki tempatan berusia 17 dan 25 tahun.

“Siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada pertikaian hutang susulan pertemuan beberapa individu di sebuah medan selera di Kota Bali, Paya Terubong.

“Selain itu siasatan juga mendapati sebuah kereta yang dipercayai melanggar seorang mangsa ketika pergaduhan sehingga menyebabkan kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, susulan kejadian itu, pasukan D7 Jabatan Siasatan Jenayah IPK Pulau Pinang bersama Bahagian Siasatan Jenayah IPD Timur Laut dengan bantuan Balai Polis Central menjalankan lima serbuan di sekitar negeri ini.

“Hasil serbuan bermula jam 8.19 malam semalam hingga 4.22 pagi tadi, polis menahan 13 lelaki tempatan berusia antara 16 hingga 33 tahun bagi membantu siasatan.

“Daripada 13 lelaki yang ditahan, 10 adalah lelaki Cina, dua lelaki India dan seorang lelaki India Muslim, manakala mereka terdiri daripada seorang pelajar serta individu yang bekerja dalam sektor makanan, penghantaran dan pengangkutan, manakala dua lagi pengganggur.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 148 dan Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan siasatan lengkap akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk arahan lanjut,” katanya.

Dalam pada itu, Dennis Lim berkata, polis Pulau Pinang akan mempergiat rondaan dan pemantauan di lokasi berisiko selain meningkatkan risikan serta melaksanakan operasi bersasar bagi membendung kegiatan pergaduhan berkumpulan dan jenayah kekerasan.

“Orang ramai diingatkan supaya tidak mengambil tindakan sendiri atau menggunakan kekerasan untuk menyelesaikan pertikaian.

“Ibu bapa dan penjaga turut dinasihatkan memantau pergaulan serta aktiviti anak-anak bagi mengelakkan mereka terlibat dalam kegiatan jenayah,” katanya.

Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan identiti individu bawah umur yang terlibat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here