KUALA LUMPUR – Perpaduan tidak boleh sekadar menjadi slogan setiap kali sambutan Hari Kebangsaan, sebaliknya perlu menjadi asas kepada usaha membina Malaysia yang lebih makmur, adil dan berdaya saing.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, kekuatan negara sepanjang 69 tahun kemerdekaan terbina daripada sumbangan rakyat pelbagai kaum yang bersama-sama menggerakkan pembangunan negara.
Katanya, semangat kebersamaan itu perlu terus dipertahankan bagi memastikan kebangkitan semula Malaysia dapat dinikmati seluruh rakyat tanpa mengira kaum, agama atau latar belakang.
“Malaysia dibina oleh orang Melayu, Cina, India, Dayak, Kadazan dan seluruh rakyat tanpa mengira kaum atau latar belakang yang berganding bahu membangunkan negara.
“Pencapaian Malaysia sepanjang 69 tahun kemerdekaan tidak mungkin dicapai tanpa sumbangan dan usaha bersama seluruh rakyat,” katanya dalam perutusan sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-69, hari ini.
Kor Ming berkata, kerajaan juga perlu memastikan dasar dan pembangunan yang dilaksanakan terus mengambil kira keperluan rakyat, termasuk golongan yang berdepan cabaran kehidupan seharian.
Tambahnya, enam inisiatif yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Amanat Hari Kebangsaan semalam mencerminkan usaha Kerajaan MADANI menterjemahkan maklum balas rakyat kepada tindakan yang memberi manfaat secara langsung.
“Enam inisiatif yang diumumkan oleh Perdana Menteri merupakan bukti nyata bahawa Kerajaan MADANI mendengar denyut nadi rakyat dan sentiasa mengutamakan kesejahteraan rakyat,” katanya.
Enam inisiatif itu merangkumi peningkatan kuota subsidi petrol dan diesel, tambahan peruntukan penyelenggaraan sekolah, akses kecerdasan buatan (AI) untuk belia, pengukuhan kemudahan kesihatan awam, peningkatan ambang pelaksanaan e-Invois serta Geran Sejahtera MADANI bagi membantu penjaja dan peniaga kecil.
Menurut Kor Ming, pendekatan pembangunan inklusif penting bagi memastikan kemajuan negara bukan hanya diukur berdasarkan pertumbuhan ekonomi, sebaliknya turut mengambil kira kesejahteraan dan peluang yang dinikmati rakyat.
“Dengan terus mempertahankan semangat perpaduan dan keterangkuman, Malaysia mampu menuju masa depan yang lebih makmur, adil dan berdaya saing,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh rakyat Malaysia atas semangat kebersamaan yang terus menjadi kekuatan negara.
Katanya, pembinaan Malaysia adalah tanggungjawab bersama dan kejayaan masa depan negara bergantung kepada keupayaan rakyat untuk terus bersatu serta bergerak sebagai satu bangsa. – MalaysiaGazette
















