KUALA LUMPUR – Impian Datuk Azizulhasni Awang untuk meneruskan misi memburu tiket ke Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA28) kembali menyala apabila Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Majlis Sukan Negara (MSN) mengesahkan masih memerlukan khidmat jaguh berbasikal trek negara itu.
Azizulhasni menerusi hantaran di Threads menyambut perkembangan itu dengan penuh kesyukuran, sambil merakamkan penghargaan kepada KBS, MSN dan rakyat Malaysia yang tidak putus memberikan sokongan kepadanya.
“Alhamdulillah. It’s a YES. Jutaan terima kasih saya ucapkan kepada semua yang terlibat, terutamanya seluruh rakyat yang tampil berdiri teguh di belakang saya yang lemah ini,” katanya mengesahkan menerima e-mail daripada KBS dan MSN.
Menurut Azizulhasni, sokongan rakyat Malaysia yang dizahirkan menerusi media sosial memberi makna besar kepadanya ketika melalui tempoh penuh ketidaktentuan itu.
“Tidak ada siapa yang akan memahami perkara ini. Hanya atlet yang berkorban untuk negara sahaja faham perasaan ini macam mana.
“Saya tidak minta sokong saya, tapi saya sangat berterima kasih dengan rakyat Malaysia yang tampil membantu dan menyokong saya walaupun melalui Threads, komen, tetapi memberi impak dan makna yang besar,” katanya yang gagal menahan kesedihannya dalam video yang dimuat naik hari ini.
Jaguh kelahiran Dungun, Terengganu itu memberi jaminan akan terus memberikan yang terbaik buat negara sekiranya diberi peluang meneruskan perjuangan.
“Insya-Allah seperti biasa saya akan buat yang terbaik untuk negara yang tercinta dan anda semua,” katanya.
Sementara itu, Azizulhasni memaklumkan akan mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung perkembangan itu dalam masa terdekat.
Terdahulu, Azizulhasni tampil dengan penjelasan sembilan muka surat bagi memperincikan pelbagai perkara berkaitan sukan berbasikal dan misi kelayakan Malaysia ke LA28.
Antara persoalan utama yang dibangkitkan jaguh berbasikal trek negara itu ialah statusnya dalam misi LA28 apabila menegaskan isu sebenar bukan mengenai sama ada mahu meneruskan kayuhan atau tidak, tetapi sama ada Malaysia masih memerlukan khidmatnya untuk memburu tiket ke temasya berkenaan.
Kemudian, MSN dilaporkan menyangkal dakwaan Azizulhasni yang menyatakan badan induk itu tidak menghiraukan perancangannya, sebaliknya mendedahkan pertemuan sudah pun dibuat bersama bagi membincangkan keperluan untuk ke LA28. -MalaysiaGazette
















