Nori Abdullah (dua dari kanan) mewakili PENYAYANG menyumbangkan baucar tunai bernilai RM50,000 kepada Institut Kanser Negara (IKN) di Kuala Lumpur baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Yayasan Budi Penyayang Malaysia (PENYAYANG) dan rangkaian farmasi runcit terkemuka di Malaysia, BIG CARING Group bekerjasama bagi memperluas akses penjagaan dan sokongan penting untuk pesakit kanser.

Kerjasama itu menggabungkan inisiatif utama PENYAYANG  yang dikhususkan untuk menyediakan perkhidmatan dan sokongan penting kepada pesakit serta keluarga mereka pada kadar subsidi dengan sumber penjagaan kesihatan komuniti BIG CARING Group melalui BIG Pharmacy serta inisiatif utama penjagaan kansernya, Ribbon of Hope.

Kerjasama bertujuan untuk membantu meringankan sebahagian daripada cabaran kewangan yang dihadapi oleh pesakit kanser sepanjang tempoh rawatan dan pemulihan.

Melalui BIG Pharmacy, pesakit yang layak akan mendapat akses kepada ubat-ubatan onkologi, barangan penjagaan penting termasuk beg stoma dan lampin dewasa serta peralatan pemulihan menerusi program pinjaman percuma.

Pengurus Besar PENYAYANG, Datuk Ariff Farhan berkata, keutamaan pihaknya sentiasa tertumpu untuk memastikan pesakit kanser dan keluarga mereka mendapat akses kepada bantuan praktikal yang diperlukan yang melangkaui penjagaan hospital.

“Melalui inisiatif Positive Image, kami berusaha menjadikan barangan keperluan perubatan, pemulihan dan gaya hidup lebih mudah diperoleh oleh mereka yang sedang menjalani rawatan serta proses pemulihan,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Pemasaran BIG CARING Group, Wong Siew Lai pula percaya usaha menyokong pesakit kanser bermakna memahami cabaran harian yang dihadapi pesakit serta keluarga mereka sepanjang perjalanan melawan penyakit berbahaya itu.

“Kerjasama kami dengan PENYAYANG membolehkan kami memenuhi sebahagian daripada keperluan ini secara lebih praktikal  iaitu dengan menyediakan akses yang lebih luas kepada sokongan farmasi komuniti menerusi BIG Pharmacy,” katanya.

Bagi ubat-ubatan onkologi, rawatan yang dipersetujui akan disediakan pada harga praktikal dengan bayaran pentadbiran sebanyak RM20 bagi setiap kitaran rawatan.

“Sokongan penjagaan penting akan merangkumi sehingga 60 beg stoma bagi setiap pesakit yang layak, bersamaan dengan bekalan untuk kira-kira dua bulan. Sebanyak 3,000 pek lampin dewasa juga akan diperuntukkan dengan setiap pesakit yang layak menerima bekalan untuk tempoh satu bulan,” ujarnya.

Sokongan juga akan merangkumi keperluan pemulihan di mana pesakit kanser yang layak boleh mendapatkan kerusi roda, katil hospital dan alat bantuan oksigen melalui program pinjaman percuma.

Kos penghantaran akan ditanggung sepenuhnya bagi memudahkan pesakit mendapatkan peralatan tersebut semasa proses pemulihan.

Sempena acara tersebut juga, PENYAYANG menyumbangkan baucar tunai bernilai RM50,000 kepada Institut Kanser Negara (IKN) untuk diagihkan kepada pesakit yang layak.

Menurut Pengerusi PENYAYANG, Nori Abdullah, pesakit boleh menggunakan baucar tunai tersebut untuk membeli kelengkapan bersubsidi yang berkaitan menerusi Positive Image.

Baucar tunai berkenaan telah diagihkan kepada pesakit melalui Jabatan Kebajikan Sosial IKN sejak tahun 2023, katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here