KEPALA BATAS – Seorang lelaki maut manakala dua lagi cedera selepas terbabit dalam kemalangan membabitkan dua motosikal dan dua kereta di Kilometer 127.4 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.04 petang itu, mangsa, Lim Chai Wat, 50, yang menunggang motosikal Honda Silverwing GT disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan Kementerian Kesihatan (KKM).
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan itu pada jam 1.04 petang sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kepala Batas tiba di lokasi 10 minit kemudian.
Katanya, sebaik tiba di lokasi, komander operasi membuat penilaian awal dan mengarahkan pasukan keluaran operasi (PKO) dengan kelengkapan perlindungan diri (PPE) menjalankan kerja menyelamat.
“Pasukan membantu membawa penunggang motosikal Yamaha MT-09 yang terjatuh ke tebing ke tempat selamat dengan bantuan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Sungai Puyu.
“Penunggang Honda Silverwing GT kemudian disahkan meninggal dunia oleh pihak KKM di lokasi kejadian.
“Mangsa yang meninggal dunia itu diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut, manakala mangsa cedera dibawa ambulans KKM bagi mendapatkan rawatan susulan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Dalam kemalangan itu, pembonceng Honda Silverwing GT, Tee Seew Yong, 50, mengalami kecederaan ringan, manakala penunggang Yamaha MT-09, Kan Chee Hong, 50, parah.
Dua pemandu Perodua Myvi masing-masing, Mohamad Zubir Mohd Noor, 47, dan Ang Kong Wei, 44, tidak mengalami kecederaan.
“Operasi tamat pada jam 3.05 petang selepas keadaan di lokasi dipastikan selamat,” katanya. – MalaysiaGazette
















