KUALA LUMPUR – Malaysian Relief Agency (MRA) melancarkan Tabung Kemanusiaan Bencana Nepal bagi menggerakkan bantuan kecemasan kepada masyarakat yang terjejas akibat bencana banjir besar yang melanda beberapa wilayah di Nepal.
Presiden MRA, Khairil Annuar Khalid berkata, banjir kilat berskala besar pada 26 Ogos lalu melanda daerah Rasuwa di utara Nepal akibat lonjakan air secara mendadak ke Sungai Bhote Koshi dari kawasan hulu berhampiran sempadan Tibet, China.
Menurutnya, bencana itu turut memberi kesan besar kepada kawasan sepanjang koridor sungai termasuk Rasuwa, Nuwakot, Dhading dan Gorkha serta beberapa kawasan di hilir.
“Penilaian awal pihak berkuasa dan agensi kemanusiaan menunjukkan kejadian ini dipercayai berkaitan dengan ketidakstabilan ais atau glasier di kawasan pergunungan tinggi yang menyebabkan aliran sungai tersekat sebelum berlaku pelepasan air secara mendadak.
“Berdasarkan perkembangan sehingga 31 Ogos, sekurang-kurangnya 939 mayat telah ditemukan, manakala kira-kira 3,925 orang masih terputus hubungan atau belum dapat dikesan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, Persekutuan Antarabangsa Persatuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah (IFRC) pula menganggarkan kira-kira 93,000 penduduk terjejas akibat bencana berkenaan.
“Angka ini masih boleh berubah memandangkan operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan, selain terdapat kawasan yang sukar diakses,” tambahnya.
Khairil Annuar berkata, banjir deras berkenaan turut memusnahkan dan merosakkan kediaman, jalan raya, jambatan, sekolah, kemudahan kesihatan, kawasan pertanian serta infrastruktur hidroelektrik.
Keadaan itu, katanya, menyebabkan keperluan terhadap makanan, air bersih, tempat perlindungan, perkhidmatan kesihatan dan barangan keperluan asas semakin mendesak.
Sehubungan itu, MRA akan menyalurkan dana tabung berkenaan bagi menyokong operasi bantuan kemanusiaan kepada komuniti terjejas dengan memberi keutamaan kepada keperluan asas dalam fasa awal kecemasan.
Antara bantuan yang dirancang termasuk makanan, bekalan air bersih dan keperluan sanitasi serta kebersihan, kit kebersihan, kit bayi, bantuan perubatan dan kesihatan serta pembinaan musolla sementara bagi komuniti Muslim yang terjejas.
MRA menyeru rakyat Malaysia, sektor korporat, institusi, masjid dan surau, pertubuhan masyarakat sivil serta seluruh lapisan masyarakat untuk bersama-sama menyumbang kepada tabung berkenaan.
Sumbangan boleh disalurkan kepada Malaysian Relief Agency Berhad melalui akaun Maybank 5640 9820 8020 atau Alliance Bank 6410 8001 4389.
“MRA menyeru rakyat Malaysia untuk bersama-sama menyatakan solidariti terhadap rakyat Nepal yang sedang melalui antara bencana paling buruk pernah melanda negara tersebut,” katanya.
Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi MRA International di talian 0163331672.
MRA akan terus memantau perkembangan situasi dan menjalankan penilaian keperluan bersama rakan kerjasama di Nepal bagi menentukan bentuk intervensi yang paling sesuai. – MalaysiaGazette
















