KUALA TERENGGANU — Universiti Malaysia Terengganu (UMT) mengambil langkah proaktif melahirkan graduan sedia kerja menerusi Program Pensijilan Profesional di bawah skim Program Tauliah Industri dan Profesional (KPTiP).
Program itu mendedahkan mahasiswa kepada kepakaran Ujian Tanpa Musnah atau Non-Destructive Testing (NDT), iaitu teknik mengesan kecacatan dalaman bahan tanpa merosakkan komponen berkenaan.
Program teknikal berkenaan ditawarkan khusus kepada pelajar tahun ketiga dan tahun akhir daripada pelbagai bidang pengajian ijazah di UMT.
Pada fasa pertama, seramai 15 pelajar berjaya lulus ujian kelayakan dan memperoleh lesen profesional masing-masing.
Pengarah Pusat UMT Life, Profesor Dr Hafiza Aishah Hashim berkata, penganjuran program pensijilan berkenaan membuktikan komitmen UMT dalam memperkasakan kemahiran praktikal berimpak tinggi dalam kalangan mahasiswa.
“ Kita mahu melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang secara akademik, malah bersedia menerajui industri global dengan pentauliahan bertaraf dunia,” katanya.
Dalam bidang NDT, juruteknik menggunakan teknologi khusus bagi mengesan keretakan halus pada struktur besi dan bahan industri, sama seperti penggunaan X-ray untuk mengenal pasti keretakan tulang tanpa perlu melakukan pembedahan.
Latihan intensif selama 25 hari itu mendedahkan peserta kepada dua kaedah utama, iaitu Magnetic Particle Testing (MT) dan Liquid Penetrant Testing (PT).
Kaedah MT menggunakan medan magnet bagi mengesan keretakan pada bahan logam, manakala PT menggunakan cecair khas yang meresap ke dalam rekahan halus pada pelbagai jenis bahan pepejal.
Peserta turut diberikan latihan berkaitan keselamatan bahan kimia berlandaskan COSHH (Control of Substances Hazardous to Health) bagi memastikan cecair ujian dikendalikan dengan selamat tanpa menjejaskan kesihatan.
Kecekapan peserta kemudian dinilai menerusi peperiksaan akhir yang merangkumi komponen teori dan praktikal sepenuhnya sebelum sijil diberikan.
Kepakaran NDT kini menjadi komponen keselamatan penting dalam sektor berisiko tinggi seperti minyak dan gas, penerbangan serta pembinaan.
Keretakan kecil pada struktur paip gas, rangka pesawat atau jambatan besi yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar boleh mengakibatkan kemalangan serius sekiranya tidak dikesan lebih awal.
Melalui teknik NDT, pemeriksaan berkala boleh dilakukan bagi mengesan kerosakan tanpa perlu memotong atau merosakkan komponen asal peralatan.
Langkah pengesanan awal itu bukan sahaja membantu menjamin keselamatan operasi, malah dapat mengurangkan kos penyelenggaraan dan memanjangkan jangka hayat kemudahan.
Permintaan terhadap tenaga pakar NDT bertauliah kekal tinggi di pasaran tempatan dan antarabangsa.
Mahasiswa yang lulus peperiksaan dianugerahkan Certification of Proficiency di bawah International Personnel Certification Scheme (IPCS) yang diiktiraf mengikut piawaian ISO 9712.
UMT berkata, pemilikan sijil profesional bertaraf antarabangsa itu memberi kelebihan dari segi kebolehpasaran kepada graduan dalam pasaran kerja yang semakin kompetitif.
Seorang peserta yang berjaya memperoleh sijil berkenaan berkata, latihan amali selama 25 hari membuka pemahamannya mengenai piawaian keselamatan industri di peringkat antarabangsa.
“Pendedahan latihan amali selama 25 hari ini benar-benar membuka mata kami tentang realiti piawaian keselamatan industri tahap antarabangsa.
“Sijil profesional IPCS ini memacu keyakinan kami untuk bersaing secara sihat dan melangkah terus ke pasaran kerjaya teknikal berprestij,” katanya.
Program berkenaan dijangka terus diperluas bagi melahirkan lebih ramai profesional muda berdaya saing dan berkemahiran tinggi untuk menyokong perkembangan industri negara. – MalaysiaGazette
















