Ahmad Dani Amir Fariz (kanan) bersama Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof. Ts. Dr. Norinsan Kamil Othman (tengah) dan Pengarah Pusat Sukan UKM, Dr. Nurshakila Mazalan (kiri) semasa sesi penyerahan Kit Atlet UKM sebagai tanda sokongan universiti kepada Ahmad Dani dalam menggalas cabaran dunia.

BANGI – Pelajar tahun 1 Fakulti Undang-Undang, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Ahmad Dani Amir Fariz, menjadi pelajar UniversitI Awam pertama yang akan mewakili Malaysia ke Kejohanan Ironman 70.3 Dunia di Nice, Perancis pada September ini.

Dalam kejohanan itu nanti Ahmad Dani bakal berenang sejauh 1.9 kilometer (km), berbasikal 90km dan berlari 21km bersama atlet dari seluruh dunia.

Ahmad Dani berkata, beliau amat beruntung dapat beraksi di kejohanan tersebut kerana edisi kali ini adalah acara terakhir kejohanan Ironman bertaraf dunia diadakan di Nice, Perancis.

“Meskipun begitu, saya agak gementar kerana laluan untuk acara berbasikal berbukit bukau dengan ketinggian terkumpul mencapai 1244m dan kecerunan sehingga 11.9 peratus,” katanya.

Beliau berkata strategi yang akan digunakan dalam kejohanan itu adalah untuk menikmati pemandangan agar tidak berasa lelah semasa fasa pendakian.

Sebagai langkah memberi sokongan kepada persediaan Ahmad Dani menyertai kejohanan triatlon bertaraf dunia, UKM telah menubuhkan pasukan triatlon dan menampung kos jurulatih dan juga penyertaan Ahmad Dani ke kejohanan triatlon di Malaysia.

“Saya terlibat dalam latihan bersama pasukan relay triatlon UKM dan jurulatih khas sejak bulan Februari 2026. Alhamdulillah, baru-baru ini, saya telah berjaya merangkul tempat ke-2 dalam Kejohanan Triatlon Perak Multisport Festival dan ke-10 di dalam Kejohanan Ironman Desaru 70.3 2026.

“Bagi saya, pencapaian ini menunjukkan peningkatan dari segi keyakinan dan endurans. Misalnya, meskipun acara renang bukanlah forte saya, tetapi saya berjaya mengharung ombak yang mengganas semasa di Desaru,” tambah Ahmad Dani.

Beliau berkata demikian semasa penyerahan Kit Atlet UKM yang disampaikan oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof. Ts. Dr. Norinsan Kamil Othman. Sesi tersebut adalah tanda sokongan universiti kepada Ahmad Dani dalam menggalas cabaran dunia.

Ahmad Dani bakal berangkat ke Eropah pada awal bulan ini untuk membuat persediaan awal sebelum berlangsungnya kejohanan pada 13 September nanti. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here