KUALA LUMPUR – Seorang lelaki tempatan yang disyaki terlibat dalam kes samun hingga menyebabkan kematian seorang warga emas di Teluk Intan pada 17 April lepas telah ditahan.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak Asisten Komisioner Chua Kok Lian berkata, suspek berusia 26 tahun itu ditahan di Klang, Selangor pada 26 Ogos hasil Op Kesan/Wanted yang dijalankan pihak polis.
Beliau berkata, penahanan itu merupakan hasil usaha berterusan polis bagi mengesan dan membawa individu yang dipercayai terlibat dalam kes berkenaan ke muka pengadilan.
“Suspek yang kini masih dalam tempoh tahanan reman akan dibawa ke Mahkamah Majistret Teluk Intan pada hari ini September bagi menghadapi pertuduhan,” katanya dalam satu kenyataan.
Jelasnya, kertas siasatan telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dan arahan telah diterima supaya suspek turut didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama.
Sebelum ini empat rakan sejenayah suspek telah ditahan dan didakwa di mahkamah pada 7 Mei lepas mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.
Chua berkata, Seksyen 302 memperuntukkan hukuman mati atau, jika tidak dihukum mati, penjara antara 30 hingga 40 tahun serta sebatan sekurang-kurangnya 12 kali, jika sabit kesalahan.
Beliau berkata, polis akan terus mempergiat usaha mengesan dan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang terlibat dalam kegiatan jenayah bagi memastikan mereka dibawa ke muka pengadilan.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kegiatan jenayah diminta menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi membantu usaha mengekalkan keselamatan dan ketenteraman awam, khususnya di daerah Hilir Perak,” katanya.
Dalam kejadian 17 April lalu, seorang lelaki berusia 69 tahun maut dilibas dengan senjata tajam dalam kejadian samun oleh sekumpulan lelaki di Pekan Baru, Teluk Intan.
Mangsa didapati cedera parah di tangan kanan dan tapak tangan kiri sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. – MalaysiaGazette
















