Mesin bajak kawasan sawah padi diletakkan di sekitar kawasan bendang ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Kampung Tok Raja, Jerteh, Terengganu. Foto HAZROL ZAINAL, 25 JULAI 2022.

KUALA LUMPUR – Kemelut kelewatan bekalan Baja Padi 3 di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) kini dicadang dibawa ke mahkamah bagi menentukan pihak yang bertanggungjawab sekiranya kelewatan itu terbukti menyebabkan kerugian kepada pesawah.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Siputeh, Mohd Ashraf Mustaqim berkata, tindakan undang-undang wajar menjadi langkah seterusnya selepas isu bekalan baja berlarutan dan menimbulkan persoalan berkaitan kuantiti, masa penghantaran serta kualiti produk.

“Sudah sampai masanya persoalan ini diuji melalui dokumen, bukti, keterangan pakar dan proses kehakiman, bukan sekadar berakhir dengan memorandum dan janji pembaikan yang berulang,” katanya menerusi kenyataan.

Beliau berkata, hanya kira-kira 22 peratus daripada 616,015 beg Baja Padi 3 dilaporkan diterima setakat 18 Ogos lalu, ketika puluhan ribu hektar tanaman memasuki fasa kritikal pembajaan.

Menurutnya, kelewatan bekalan bukan sekadar isu logistik kerana tempoh pembajaan berkait secara langsung dengan perkembangan tanaman dan potensi hasil pesawah.

Justeru Ashraf yang juga Koordinator Gerakan Melawan Penindasan Petani (GEMPITA) berkata, pesawah tidak seharusnya terus menanggung kesan kelemahan sistem apabila mereka sendiri berdepan tekanan kos membajak dan menuai, input pertanian, diesel, pengairan serta isu harga padi.

“Jika kerugian akibat kegagalan yang boleh dibuktikan telah berlaku, persoalan pampasan kepada pesawah juga wajar diperjuangkan. Mereka tidak seharusnya dipaksa membayar harga sebuah kegagalan yang bukan berpunca daripada mereka,” katanya.

Dalam masa yang sama beliau turut menggesa peguam, ahli agronomi, pakar perolehan, akauntan forensik dan aktivis masyarakat membantu pesawah sekiranya wujud asas perundangan.

Ujarnya ini kerana, sebarang dakwaan kecuaian, kelemahan pengurusan kontrak atau salah laku perlu ditentukan berdasarkan bukti, manakala petunjuk ketirisan atau unsur rasuah wajar diserahkan kepada pihak berkuasa untuk siasatan bebas.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here