WASHINGTON – Dua orang maut manakala beberapa lagi cedera, termasuk tiga anggota polis, selepas seorang lelaki bersenjata melepaskan tembakan di bandar Minneapolis, Amerika Syarikat (AS).
Jurucakap polis, Garrett Parten berkata, seorang mangsa maut di tempat kejadian, manakala empat lagi dibawa ke hospital dan seorang daripadanya kemudian meninggal dunia.
Suspek turut ditemui mati, namun pihak berkuasa masih belum dapat memastikan punca kematiannya.
Tiga anggota polis turut dibawa ke hospital, termasuk dua yang terkena tembakan.
Seorang anggota polis terkena tembakan di kaki, manakala seorang lagi menjalani pembedahan.
Kecederaan anggota ketiga masih belum diketahui.
Tiada maklumat mengenai motif kejadian didedahkan dalam sidang media berkenaan.
Gabenor Minnesota, Tim Walz menggesa orang ramai supaya “mendoakan Minnesota”, manakala Pengarah Biro Siasatan Persekutuan (FBI), Kash Patel berkata ejen agensi itu sedang memberikan respons terhadap kejadian. – Agensi
















