Pengerusi Lembaga Tabung Haji, Tan Sri Abdul Rashid Hussain bercakap pada Program Dialog Reliti dan Masa Depan Tabung Haji di Hotel Tenera, Bangi. Foto SADIQ SANI, 03 SEPTEMBER 2026.

BANDAR BARU BANGI – Bank Negara Malaysia (BNM) pernah memberi teguran kepada Lembaga Tabung Haji (TH) berhubung amalan pengurusan kewangannya sejak 2014.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Rashid Hussin berkata, bagaimanapun teguran tersebut didakwa tidak diambil serius sehingga membawa kepada kemelut yang memerlukan pembaharuan besar pada 2018.

“BNM sebenarnya memberikan teguran kepada TH atas dasar itu kerana melihat mungkin terdapat risiko jika TH meneruskan lagi praktis-praktis yang dilakukan sejak 2014.

“Surat-surat peringatan dikeluarkan supaya TH membuat perubahan atau pembetulan, tetapi malangnya ia masih diteruskan sehingga 2017,” katanya ketika sesi soal jawab pada Dialog Ummah: Realiti dan Masa Depan TH di sini, hari ini.

Beliau berkata, keadaan itu akhirnya membawa kepada keperluan melaksanakan langkah pembetulan pada 2018.

“Kegagalan melakukan perubahan ketika itu boleh menyebabkan TH tidak lagi relevan atau kekal solvent,” katanya.

Selain itu, katanya, walaupun TH tidak berada secara langsung di bawah kawal selia BNM, namun bank pusat itu antara pihak yang paling awal memberi amaran mengenai risiko terhadap institusi berkenaan.

“Dalam sejarah kontroversi TH, yang wujud ialah BNM sebab kita tidak diregulasi oleh sesiapa pun.

“BNM sebenarnya berperanan sebagai aktor walaupun ia bukan badan yang mempunyai bidang kuasa secara langsung berkenaan TH.

“Bank pusat itu bimbang mengenai kesan terhadap kecairan sekiranya berlaku krisis keyakinan terhadap TH,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here