Pengerusi Lembaga Tabung Haji, Tan Sri Abdul Rashid Hussain bercakap pada Program Dialog Reliti dan Masa Depan Tabung Haji di Hotel Tenera, Bangi. Foto SADIQ SANI, 03 SEPTEMBER 2026.

BANDAR BARU BANGI – Sebanyak 76 peratus dari keseluruhan cadangan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Lembaga Tabung Haji (TH) telah dilaksanakan, kata Pengerusinya, Tan Sri Abdul Rashid Hussin.

Beliau berkata, pencapaian itu satu peratus lebih tinggi berbanding Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkannya sendiri.

“Saya akan bahagikan kepada empat pembentangan… kami melakukan 76 peratus dari itu, satu peratus lebih tinggi daripada KPI saya sendiri,” katanya ketika ditemui pemberita pada Dialog Ummah: Realiti dan Masa Depan TH di sini, hari ini.

Menurut beliau, baki cadangan yang belum diselesaikan kebanyakannya membabitkan aspek hubungan serta proses dengan pihak luar.

Jelasnya, perkara berkenaan tidak dapat diselesaikan dengan segera kerana ia memerlukan proses panjang dan penglibatan beberapa agensi berkaitan.

“Bahagian yang perlu diselesaikan melibatkan hubungan luar dan hubungan luar itu tidak mudah kerana ia adalah proses yang panjang,” katanya.

Beliau berkata, dari 25 cadangan RCI, antara perkara penting yang masih dalam proses ialah cadangan berkaitan aspek kawal selia TH.

Bagaimanapun, katanya, usaha ke arah itu kini hampir mencapai penyelesaian.

“Dari 25 rekomendasi, adalah untuk menguruskan masalah regulatori.

“Seperti yang saya katakan, kita hampir sampai di sana sekarang. Sebagai prinsip, itu bukan masalah,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here