YANGON – Myanmar memberi jaminan bahawa rakyatnya yang ke luar negara akan dibenarkan pulang secara “selamat dan bermaruah”, susulan kebimbangan yang dibangkitkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan kumpulan hak asasi berhubung rancangan penghantaran pulang 1,500 warga negara ini dari Malaysia.
Kementerian Luar Myanmar turut mengulangi pendiriannya yang menolak kewujudan etnik minoriti Muslim Rohingya yang menjadi mangsa penganiayaan, sekali gus mencetuskan kebimbangan aktivis bahawa mereka mungkin kembali terdedah kepada bahaya menerusi skim penghantaran pulang itu.
Pada Julai, Malaysia berkata Myanmar bersetuju menerima semula 5,000 anggota masyarakat Rohingya, kumpulan yang berdepan kempen diskriminasi ganas di Myanmar sejak 2017.
Kedua-dua negara memaklumkan kumpulan pertama kira-kira 1,500 warga Myanmar akan dihantar pulang secara sukarela pada akhir September, namun tidak jelas berapa ramai daripada mereka terdiri daripada etnik Rohingya.
“Myanmar komited untuk bekerjasama rapat dengan Bangladesh dan negara sahabat bagi memudah cara kepulangan secara sukarela individu yang disahkan sebagai mereka yang dipindahkan, dalam keadaan selamat dan bermaruah,” menurut kenyataan Kementerian Luar Myanmar.
Ratusan ribu etnik Rohingya melarikan diri dari Myanmar selepas tindakan keras tentera pada 2017 yang menjadi asas kepada kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).
Lebih 1.2 juta Rohingya kini tinggal di Bangladesh, berhampiran sempadan Myanmar, dalam penempatan pelarian terbesar di dunia.
Namun, usaha untuk melaksanakan penghantaran pulang etnik setakat ini merekodkan kemajuan yang amat terhad.
Kira-kira 126,000 lagi Rohingya tinggal di Malaysia bersama warga Myanmar daripada pelbagai kumpulan etnik yang turut dipindahkan.
Sejak sekian lama Myanmar menafikan Rohingya mempunyai warisan etnik di negara ini dan mendakwa mereka adalah keturunan pendatang dari Bangladesh.
Malah, Myanmar enggan menggunakan istilah “Rohingya”.
Kementerian Luar Myanmar pada Khamis mengulangi pendirian bahawa istilah berkenaan “secara palsu mendakwa satu identiti etnik yang tidak pernah wujud di Myanmar”, sambil mengutuk sambutan Hari Peringatan Genosid Rohingya yang diadakan di beberapa negara.
Menteri Komunikasi Malaysia, Fahmi Fadzil sebelum ini berkata, Malaysia tidak akan menghantar pulang warga Myanmar sekiranya mereka “akan dianiaya atau nyawa mereka terancam”.
Namun, pemantau hak asasi bimbang penghantaran pulang etnik Rohingya ke negara yang menafikan identiti mereka akan membuka ruang kepada berlakunya satu lagi gelombang pencabulan hak.
Laporan Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres yang diterbitkan pada Rabu mendapati “keadaan bagi kepulangan mereka secara sukarela, selamat, bermaruah dan mampan pada masa ini belum wujud”. – Agensi
















