KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa tidak menghukum Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) hanya berdasarkan perbandingan angka peruntukan dan perbelanjaan tanpa menjelaskan terlebih dahulu komitmen projek yang diluluskan sebelum ini.
Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pokok Sena, Mohd Farhan Ahmad berkata, polemik mengenai peruntukan projek jalan luar bandar KKDW perlu dilihat berdasarkan gambaran kewangan lengkap dan bukan sekadar melalui angka yang mudah dijadikan bahan politik.
Beliau berkata, kenyataan Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Munim yang menggunakan ungkapan “besar pasak daripada tiang” dan “jahanam negara macam ini” ketika mengulas isu berkenaan wajar disokong dengan fakta serta perincian lebih menyeluruh.
“Adakah angka disebut itu benar-benar bermaksud KKDW berbelanja sesuka hati tanpa kelulusan, atau ia turut merangkumi komitmen kontrak dan tuntutan projek yang diluluskan serta dibawa dari tahun sebelumnya?
“Ini perbezaan yang sangat besar,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Farhan berkata, angka yang dipetik dalam kenyataan rasmi Kementerian Kewangan (MOF) menunjukkan peruntukan KKDW berbanding perbelanjaan bagi 2023 ialah RM1.1 bilion berbanding RM1.8 bilion, manakala pada 2024 sebanyak RM1.3 bilion berbanding RM2 bilion dan 2025 pula RM1.6 bilion berbanding RM2.3 bilion.
Bagaimanapun, katanya, angka tersebut perlu disertakan dengan penjelasan mengenai komponen perbelanjaan yang menyebabkan perbezaan berkenaan.
“Berapa dari jumlah itu merupakan komitmen projek yang mendapat kelulusan kerajaan sebelumnya?
“Berapa merupakan tuntutan kerja yang siap atau sedang dilaksanakan dan berapa pula komitmen yang dibawa dari tempoh Covid-19?” soalnya.
Menurut beliau, KKDW sebelum ini menjelaskan terdapat projek tertentu yang mempunyai komitmen kontrak sejak 2019 hingga 2021, namun pelaksanaannya terjejas akibat pandemik Covid-19.
“Apabila projek berkenaan diteruskan, katanya, tuntutan pembayaran turut dibawa ke tahun berikutnya,” katanya.
Farhan berkata, KKDW juga menjelaskan sistem kewangan kerajaan dan iGFMAS tidak membenarkan kementerian membuat perbelanjaan sewenang-wenangnya tanpa butiran serta peruntukan yang diluluskan.
“Kalau benar berlaku perbelanjaan tanpa kelulusan atau pelanggaran tatacara kewangan, nyatakan secara jelas projek mana, siapa yang meluluskan dan peraturan mana yang telah dilanggar,” katanya.
Beliau turut mengingatkan supaya istilah “terlebih belanja” tidak digunakan sehingga menimbulkan persepsi bahawa wang kerajaan dibelanjakan sesuka hati.
Dalam pada itu, Farhan memberikan kredit kepada Menteri KKDW merangkap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kerana tampil mempertahankan perkara tersebut.
Katanya, Zahid bukan semata-mata mempertahankan angka di atas kertas, sebaliknya mengambil kira pihak yang terlibat secara langsung dengan projek pembangunan luar bandar.
“Di hujung rantaian pembayaran ini ada kontraktor, subkontraktor, pembekal, pekerja dan keluarga mereka. Lebih penting lagi, di hujung projek tersebut ada masyarakat luar bandar yang menunggu jalan dan kemudahan asas.
“Apabila kerja kerajaan telah dilaksanakan, kontraktor bukan bank kepada kerajaan. Mereka perlu dibayar,” katanya.
Farhan berkata, MOF sendiri mengakui terdapat tunggakan pembayaran kepada kontraktor dan RM300 juta diluluskan bagi membantu menyelesaikan tunggakan berkenaan.
“Terdapat percanggahan perlu diperjelaskan apabila MOF menyifatkan RM300 juta itu sebagai “peruntukan tambahan”, manakala KKDW menyatakan ia bukan peruntukan tambahan baharu tetapi peruntukan sewajarnya disalurkan melalui Surat Kuasa Berbelanja,” katanya.
Sehubungan itu, Farhan menggesa kedua-dua kementerian membentangkan rekonsiliasi akaun, dokumen, tarikh kelulusan dan pecahan angka bagi menjelaskan kedudukan sebenar.
“Saya juga tidak mahu polemik ini menjadi pergaduhan antara MOF dengan KKDW. Kedua-duanya berada dalam kerajaan yang sama.
“Kalau dua kementerian mempunyai tafsiran berbeza terhadap angka yang sama, bentangkan rekonsiliasi akaun dan fakta kepada rakyat. Itulah cara kerajaan yang bertanggungjawab menyelesaikan persoalan,” katanya.
Menurutnya, tindakan Zahid membangkitkan perkara tersebut perlu dilihat dalam konteks memastikan projek pembangunan luar bandar yang telah dilaksanakan mempunyai dana untuk dibayar dan masyarakat desa tidak menjadi mangsa masalah pentadbiran serta aliran peruntukan.
“Jangan kerana mahu mempertahankan satu jadual, kita terlupa mempertahankan orang yang sudah menyiapkan kerja.
“Jalan sudah dibina. Kerja sudah dibuat. Komitmen kerajaan sudah wujud. Maka selesaikan pembayaran.
“Itu lebih penting daripada menentukan siapa menang dalam perang kenyataan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















