KOTA TINGGI – Keadaan muka bumi Pantai Tanjung Lompat, Penawar di sini yang dipercayai tidak rata di bahagian dasar dipercayai antara faktor menyebabkan empat remaja lemas semalam.
Pegawai Operasi Ibu Pejabat Maritim Zon Tanjung Sedili, Leftenan Komander Mohamed Shafiee Bakar berkata, selain itu keadaan ombak bergelora dan angin kuat ketika peralihan monsun menjadi satu lagi faktor mendorong tragedi tersebut berlaku.
“Keadaan ini boleh menyebabkan tarikan arus ke arah laut menjadi lebih kuat, terutama ketika air laut sedang surut.
“Keadaan muka bumi pantai yang mempunyai bentuk melengkung dipercayai menyebabkan ombak yang menghempas pantai menghasilkan tarikan kuat ke arah laut.
“Di kawasan ini dipercayai ada satu alur seperti longkang di tengah-tengah pantai. Apabila ombak menghempas, terdapat kemungkinan tarikan arus menjadi lebih kuat ke arah laut.
“Berbeza dengan pantai yang landai, ombak biasanya menghempas ke pantai, tetapi keadaan di kawasan ini boleh menyebabkan air kembali menarik ke laut,” katanya.
Beliau berkata demikan ketika ditemui pemberita selepas melawat keluarga mangsa serta meninjau operasi mencari dan menyelamat (SAR) di pos kawalan di Pantai Tanjung Lompat hari ini.
Semalam portal ini melaporkan, enam remaja lemas selepas menjalankan aktiviti mandi pantai, sebelum dua daripada mereka berjaya diselamatkan orang awam, manakala empat yang lain hilang.
Dua daripada mangsa yang hilang iaitu Alif Taqiuddin Kamal Hasrul, 16, ditemukan lemas pukul 1.25 petang semalam manakala Muhammad Thaqif Rayyan Rumainoor, 16, pula ditemukan pukul 1.53 petang tadi
Sementara itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dua lagi mangsa yang masih hilang iaitu Mohamad Haiman Fitri Supian dan Muhammad Adib Hafiy Kamal, masing-masing berusia 16 tahun masih diteruskan.
Mengulas lanjut, Mohamed Shafiee berkata, keadaan itu mungkin sukar disedari orang ramai, khususnya mereka yang tidak biasa dengan bentuk muka bumi serta keadaan arus di kawasan berkenaan.
Katanya, kejadian juga berlaku ketika air laut surut dan keadaan itu berkemungkinan menyebabkan mangsa menyangka kawasan berkenaan selamat untuk mandi kerana paras air tidak terlalu tinggi.
“Walaupun air sedang surut, mereka mungkin tidak mengetahui kekuatan tarikan arus ke laut di kawasan terbabit,” katanya.
l
Mengulas keadaan cuaca, Mohamed Shafiee berkata, faktor peralihan monsun yang sedang berlaku ketika ini juga berkemungkinan menyebabkan keadaan ombak dan angin lebih kuat berbanding biasa.
“Kita sekarang dalam tempoh peralihan monsun dan tidak lama lagi akan memasuki Monsun Timur Laut. Keadaan angin dan ombak yang bergelora juga mungkin menjadi antara faktor.
“Bagaimanapun, punca sebenar kejadian masih dalam siasatan dan kita tidak boleh membuat kesimpulan awal,” katanya.- MalaysiaGazette
















