AMPANG – Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dan Kementerian Kewangan (MOF) diminta mencari penyelesaian terbaik membabitkan isu peruntukan yang timbul baru-baru ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kedua-dua kementerian akan berbincang secara berhemah dalam menangani isu yang dimelibatkan pertelingkahan di media sosial secara terbuka.
“Kita bincang secara baik. Saya minta kementerian bincang, dua-dua kementerian dengan baik,” katanya ringkas ketika ditemui media selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Bukit Indah di sini hari ini.
Sebelum ini, Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Johan Mahmood Merican menjelaskan, tiada sekatan terhadap peruntukan KKDW bagi projek jalan luar bandar dan keseluruhan peruntukan bagi projek itu telah disalurkan.
Beliau sebaliknya, berkata kekangan dalam proses pembayaran kepada kontraktor berpunca daripada peruntukan tahun semasa yang hampir keseluruhannya telah dibelanjakan.
Isu itu timbul susulan kenyataan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengenai masalah dihadapi kontraktor susulan kelewatan bayaran bagi projek di bawah KKDW. – MalaysiaGazette















