KUALA LUMPUR – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) memberikan Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) berjumlah RM1,500 kepada pelajar baharu yang layak bagi membantu menampung sebahagian kos persediaan awal kemasukan ke Universiti Awam (UA) dan Politeknik.
Kemudahan itu juga sekali gus meringankan beban kewangan yang ditanggung oleh keluarga pelajar.
Menurut PTPTN, WPP diberikan kepada pelajar-pelajar warganegara Malaysia yang telah memberikan persetujuan menerima kemudahan itu semasa membuat permohonan kemasukan ke Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) melalui UPUOnline atau melalui portal kemasukan UA.
Selain itu, ibu bapa atau penjaga pelajar juga merupakan penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) serta memenuhi kriteria kelayakan yang telah ditetapkan.
Katanya, pelajar boleh membuat semakan tawaran WPP melalui aplikasi myPTPTN dan boleh menunaikan WPP tersebut di kaunter Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) di seluruh negara mulai hari ini dengan membawa surat tawaran WPP dan juga MyKad pelajar (wakil adalah tidak dibenarkan).
Tempoh sah laku WPP adalah selama dua bulan bermula hari ini sehingga hingga 3 November 2026.
Menurut PTPTN, bagi sesi September 2026, penawaran WPP akan memberi manfaat kepada seramai 26,457 pelajar melibatkan peruntukan berjumlah RM39.7 juta
Terdahulu hari ini, PTPTN menyantuni para pelajar yang ditawarkan WPP menerusi sesi ziarah ke rumah pelajar di kawasan Tasek Gelugor, Pulau Pinang.
Ia diikuti dengan Majlis Penyerahan Wang Pendahuluan Pinjaman bagi kawasan Bukit Gelugor, yang disempurnakan Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim.
Turut hadir Pengarah Negeri, Pejabat PTPTN Pulai Pinang, Muhammad Muhsin Abdul Rahman.

Menurut Norliza, PTPTN terus komited dalam memperkukuh agenda pendidikan tinggi dengan memastikan akses kepada pembiayaan pendidikan terus diperkasa dan dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang.
“Seiring dengan aspirasi tersebut, WPP PTPTN merupakan antara inisiatif strategik yang dilaksanakan bagi menyediakan sokongan kewangan awal kepada pelajar, sekali gus membantu meringankan beban kewangan keluarga dalam membuat persiapan dan memenuhi keperluan asas sebelum pelajar memulakan pengajian di Universiti Awam (UA) dan Politeknik,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Semenjak WPP diperkenalkan pada tahun 1999 hingga 31 Julai 2026, lebih RM1 juta orang pelajar telah menerima manfaat ini dengan peruntukan berjumlah 48 bilion.
Untuk makluman, pelajar yang ingin memohon pinjaman PTPTN boleh mengemukakan permohonan secara dalam talian melalui aplikasi myPTPTN mengikut tarikh permohonan yang ditetapkan bagi setiap UA dan Politeknik untuk memastikan pinjaman dapat diproses dan diluluskan sewajarnya.
Pelajar yang ingin memohon pinjaman PTPTN perlu mempunyai akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) yang boleh dibuka melalui aplikasi myPTPTN.
Para pelajar boleh merujuk kepada Bahagian Hal Ehwal Pelajar UA dan Politeknik masing-masing atau terus menghubungi PTPTN sekiranya terdapat sebarang Maklumat lanjut berkenaan WPP dan pinjaman PTPTN juga boleh diperoleh melalui aplikasi myPTPTN untuk perkhidmatan yang lebih mudah, cepat dan selamat. -MalaysiaGazette
















