PENGKALAN CHEPA – Dewan Pemuda PAS Pusat menggesa kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat secara bebas dan menyeluruh dakwaan mengenai kewujudan “mafia korporat”.
Perkara itu antara tujuh usul tanpa bahas dan untuk dibahas yang dibentangkan Ketua Penerangan merangkap Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Ahmad Fadhli Shaari, pada Muktamar Tahunan PAS Pusat Kali Ke-72 di PUTIK, di sini, hari ini.
Usul berkenaan berpandangan dakwaan mengenai kewujudan jaringan berkepentingan yang menggunakan pengaruh dan tekanan penguatkuasaan bagi memperoleh kepentingan atau menguasai syarikat tertentu merupakan perkara serius yang perlu diteliti berdasarkan fakta dan bukti, tanpa menghukum mana-mana pihak terlebih dahulu.
RCI itu dicadangkan mempunyai mandat untuk meneliti kemungkinan berlaku penyalahgunaan kuasa penguatkuasaan, campur tangan pihak berkepentingan, konflik kepentingan serta kelemahan tatakelola.
Suruhanjaya berkenaan juga dicadangkan diberi kuasa memanggil saksi dan mendapatkan dokumen berkaitan, sebelum hasil siasatan dibentangkan di Parlimen.
Sementara itu, Dewan Muslimat Pas Pusat pula membangkitkan isu beban kerja doktor, jururawat dan profesional kesihatan bersekutu yang melaksanakan perkhidmatan 24 jam termasuk tugas syif, on-call dan active on-call.
Usul Reformasi Masa Kerja dan Tenaga Kerja Kesihatan itu menyatakan waktu bekerja yang panjang, kekurangan tenaga kerja dan beban tugas tinggi boleh menyebabkan keletihan serta burnout, sekaligus memberi kesan terhadap kebajikan petugas, prestasi klinikal dan keselamatan pesakit.
Sehubungan itu, Pas menggesa KKM menetapkan kerangka waktu bekerja selamat, termasuk had kerja berterusan, tempoh rehat minimum dan perlindungan post-call.
Selain itu, KKM diminta menyediakan unjuran keperluan tenaga kerja lima hingga 10 tahun serta mengurangkan beban pentadbiran petugas klinikal melalui pendigitalan, automasi dan sokongan pentadbiran.
Dalam pada itu, Dewan Ulamak Pas mahu penyatuan Ummah perlu dijadikan agenda strategik nasional Pas bagi memperkukuh kekuatan politik Melayu-Islam, kestabilan negara serta memperluas kerjasama dalam bidang ekonomi, pendidikan dan sosial.
Pas diminta memperluas dialog dan muzakarah dengan parti politik, ulama, NGO, golongan profesional, akademik serta tokoh Melayu-Islam yang mempunyai titik persamaan dalam kepentingan Islam, umat dan negara.
Muktamar Pas itu turut menggesa supaya mekanisme khusus penyatuan ummah diperkukuh, termasuk usaha mewujudkan Piagam Penyatuan Ummah serta memperkukuh kerjasama strategik politik Melayu-Islam bagi mengurangkan perpecahan undi,
Agenda penyatuan ummah itu juga diperluas kepada ekonomi, pendidikan, sosial, dakwah, media dan pembangunan generasi muda. – MalaysiaGazette
















