JOHOR BAHRU – Penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) menahan sepasang lelaki dan wanita yang disyaki berkhalwat dalam sebuah bilik hotel di sebuah daerah di negeri ini, awal pagi semalam.

Operasi pemeriksaan rambang dan berkala itu dijalankan sempena cuti panjang bagi membendung kegiatan yang melanggar peruntukan undang-undang syariah.

Menurut JAINJ, penguat kuasa tiba di hotel berkenaan kira-kira 2.30 pagi sebelum mengetuk pintu sebuah bilik untuk menjalankan pemeriksaan.

Selepas beberapa minit, seorang lelaki membuka pintu sebelum pemeriksaan lanjut dilakukan.

Hasil pemeriksaan mendapati seorang wanita berada di dalam bilik berkenaan dan kedua-duanya bukan pasangan suami isteri.

Siasatan mendapati lelaki berusia 30-an itu merupakan penduduk di daerah berkenaan, manakala wanita terbabit yang sebaya dengannya menetap di Kuala Lumpur.

Lebih mengejutkan, kedua-duanya masing-masing mempunyai pasangan sah.

Pasangan itu mengakui mereka merupakan kenalan lama sejak zaman persekolahan.

Hasil siasatan yang dijalankan, JAINJ dimaklumkan wanita terbabit tiba di daerah berkenaan dengan menaiki bas dari Terminal Bersepadu Selatan (TBS) pada sebelah petang sebelum mendaftar masuk ke hotel.

Lelaki berkenaan pula dipercayai datang ke hotel itu pada sebelah malam dengan menaiki kenderaan yang diparkir agak jauh dari premis berkenaan.

Pemeriksaan di bilik berkenaan turut menemui barangan peribadi wanita terbabit, termasuk beg pakaian.

Kedua-duanya kemudian dibawa ke pejabat penguat kuasa untuk tindakan lanjut.

Suami wanita terbabit dan isteri lelaki berkenaan hadir sebagai penjamin bagi proses pembebasan sementara.

Kes berkenaan kini diserahkan kepada pihak berkuasa agama untuk tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang syariah yang berkaitan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here