Ab Rauf ketika sesi Townhall Anak Muda Negeri Melaka dengan kerjasama MalaysiaGazette sempena Karnival Anak Melaka Muda Negeri Melaka 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, di sini hari ini.

MELAKA – Siapa sangka komponen utama jam tangan mewah Rolex yang dipakai di serata dunia mempunyai kaitan dengan Melaka, malah dihasilkan oleh tenaga mahir tempatan.

Rahsia itu didedahkan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Dr. Ab Rauf Yusoh ketika berinteraksi dengan anak muda dalam sesi townhall hari ini.

Menurut Ab Rauf, perkara itu menjadi antara bukti bahawa peluang pekerjaan berkemahiran tinggi di Melaka bukan sekadar tertumpu kepada industri biasa, sebaliknya turut melibatkan teknologi dan rantaian pengeluaran bertaraf dunia.

“Rupa-rupanya baru saya tahu, komponen utama jam Rolex ini dibuat di Melaka.

“Saya tak nak cakap kat mana, itu sebab rahsia, saya pegang rahsia dia. Saya pergi rasmikan dan cara dia buat ini memang orang tak tahu, dan dipilih Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi Townhall Anak Muda Negeri Melaka dengan kerjasama MalaysiaGazette sempena Karnival Anak Melaka Muda Negeri Melaka 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh, di sini, hari ini.

Pendedahan itu mencetuskan reaksi teruja dalam kalangan anak muda namun katanya, perkara lebih penting ialah pengiktirafan industri antarabangsa terhadap kemahiran tenaga kerja tempatan.

“Kenapa Melaka? Kita ada tenaga mahir yang tangannya boleh menjulang kepada teknologi dunia.

“Kerana saya nak beritahu, tangan-tangan anak Melaka ini boleh merubah dunia teknologi pada masa depan,” katanya.

Ab Rauf berkata, pendedahan itu juga menggambarkan bahawa persepsi anak muda mengenai peluang pekerjaan di Melaka perlu diubah kerana terdapat banyak syarikat besar dunia yang beroperasi di negeri ini tetapi kurang diketahui umum.

Katanya, antara syarikat yang mempunyai operasi penting di Melaka termasuk pengeluar komponen mikrocip, automotif dan elektronik yang turut membekalkan produk ke pasaran antarabangsa.

Beliau memberi contoh sebuah syarikat di Ayer Keroh yang menurutnya sudah beroperasi selama 30 tahun dan menghasilkan mikrocip untuk pasport serta kad pengenalan yang digunakan di lebih 40 negara di seluruh dunia.

“Kalau nak cerita pasal kebolehpasaran ini, saya yakin orang Melaka memang bijak laksana Tuah, berani laksana Jebat, boleh merentas dunia,” katanya.

Beliau berkata, perkembangan industri berteknologi tinggi itu membuktikan Melaka mempunyai ekosistem pekerjaan yang luas dan memerlukan lebih ramai tenaga mahir tempatan.

Katanya, anak muda tidak seharusnya hanya menunggu pekerjaan disediakan kerajaan, sebaliknya perlu berani meneroka peluang yang tersedia dalam sektor industri berkemahiran tinggi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here