Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR – Semua pihak perlu menghormati keputusan dan kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong (YDPA) dalam pelantikan perdana menteri serta pembentukan Kerajaan Perpaduan, bukannya menggugat kestabilan negara demi kepentingan politik dan peribadi.

Ahli Dewan Negara, Dr RA Lingeshwaran berkata, Malaysia merupakan sebuah negara Raja Berperlembagaan dan institusi Yang di-Pertuan Agong adalah antara institusi utama dalam sistem pemerintahan negara yang wajib dihormati.

Menurut beliau, keputusan YDPA selepas Pilihan Raya Umum lalu dibuat berdasarkan kuasa yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan, termasuk selepas bBaginda berpuas hati Datuk Seri Anwar Ibrahim mempunyai sokongan mencukupi untuk menerajui kerajaan.

“Perkara paling penting yang perlu kita hormati adalah kepercayaan dan keputusan YDPA dalam pelantikan perdana menteri serta pembentukan Kerajaan Perpaduan.

“Malaysia ialah sebuah negara Raja Berperlembagaan. Institusi Yang di-Pertuan Agong bukan sekadar simbol, tetapi merupakan salah satu institusi utama dalam sistem pemerintahan negara yang mesti dihormati oleh semua pihak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kata pemimpin DAP itu, pembentukan Kerajaan Perpaduan selepas PRU membawa tempoh kestabilan politik yang amat diperlukan negara.

Justeru, katanya, perbezaan pandangan atau ketidakpuasan hati terhadap kerajaan tidak seharusnya dijadikan alasan untuk terus mendesak pembubaran kerajaan sehingga boleh menjejaskan kestabilan negara.

“Jika kita tidak bersetuju dengan sesuatu dasar atau keputusan kerajaan, ruang untuk menyuarakan pandangan dan kritikan tetap terbuka dalam kerangka demokrasi.

“Namun, kita tidak boleh hanya kerana terdapat perbezaan pandangan, ketidakpuasan hati atau kepentingan politik dan peribadi tertentu, terus mendesak supaya kerajaan dibubarkan,” ujarnya.

Senator Dr RA Lingeshwaran

Lingeshwaran berkata, kestabilan politik penting bagi memastikan pentadbiran negara dapat berjalan dengan baik dan kerajaan dapat memberi tumpuan kepada kepentingan rakyat.

Beliau menegaskan bahawa kepentingan negara dan rakyat perlu diletakkan mengatasi kepentingan politik mana-mana individu atau kelompok.

“Janganlah kestabilan negara yang dibina selepas melalui proses politik yang panjang digugat hanya kerana kepentingan peribadi atau percaturan politik tertentu,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here