Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan bercakap pada media selepas Muktamar Tahunan PAS Pusat Kali Ke-72 di Pusat Tarbiyah Islamiah Kelantan (PUTIK), Kota Bharu, Kelantan. Foto AIZAT ZAINAL, 05 SEPTEMBER 2026

PENGKALAN CHEPA – Cadangan supaya sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan kewujudan ‘mafia korporat’ merupakan satu keperluan mendesak.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin berkata, isu mafia korporat bukan sahaja dirasai orang awam, malah turut menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan pemain industri korporat sendiri.

“Ya, kita rasa itu satu keperluan mendesak kerana ia bukan sahaja dirasai oleh orang biasa, tetapi juga oleh pemain-pemain industri dalam dunia korporat itu sendiri.

“Mereka tidak puas hati. Bagaimana contohnya, tiba-tiba sebuah syarikat diambil alih atau ‘takeover’ oleh orang lain dalam keadaan yang bukan biasa, bukan normal, malah berlaku secara ‘hostile’,” katanya.

Menurut beliau lagi, perkara tersebut perlu diberikan perhatian serius kerana melibatkan kepentingan industri dan pihak yang terkesan dengan pengambilalihan syarikat dalam keadaan yang didakwa tidak normal.

Dalam pada itu, beliau memuji komitmen para perwakilan Pas yang terus memberikan sokongan terhadap usul berkenaan sehingga ia selesai dibahaskan.

“Saya melihat komitmen delegasi atau perwakilan kita cukup baik sampai ke akhir, tidak bergerak, tidak bergerak sehingga habis perkara ini,” tambahnya.

Beliau berkata, langkah berkenaan turut perlu dilihat dalam konteks agenda lebih besar Pas, khususnya berkaitan usaha penyatuan ummah selepas keputusan yang dibuat parti itu.

“Ini satu langkah seterusnya, apa yang kita panggil penyatuan ummah,” tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here