Operasi Pembenihan Awan dilakukan di Sarawak semalam, dengan tumpuan di sekitar Empangan Bengoh, Empangan Batang Ai, Empangan Murum (Kapit) dan Serian. foto NADMA.

ISKANDAR PUTERI- Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, operasi pembenihan awan akan diteruskan bagi membantu mengurangkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) susulan jerebu yang melanda Sarawak.

Beliau yang juga Pengerusi Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) berkata, dua bahagian iaitu Kuching dan Sri Aman merekodkan bacaan IPU pada tahap sangat tidak sihat hari ini.

“Keadaan di Serian yang diisytiharkan darurat semalam pula menunjukkan perkembangan positif dengan bacaan IPU semakin menurun.

“Dan kita harap sempena dengan perayaan Hari Malaysia di Kuching, keadaan jerebu dengan adanya operasi pembenihan awan telah dapat menurunkan tahap indeks sebaran udara di negeri Sarawak khususnya,” katanya.

Ahmad Zahid dan Onn Hafiz semasa merasmikan Karnival Sukan Orang Asli Peringkat Kebangsaan Tahun 2026 di Kompleks Sukan Educity di Iskandar Puteri hari ini.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata demikan dalam sidang akhbar selepas merasmikan penutupan Karnival Sukan Orang Asli Peringkat Kebangsaan Tahun 2026 di Kompleks Sukan Educity di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Ketua Penerangan Jabatan Kebajikan Orang Asli (Jakoa), Muhammad Akmal Ila Ahmad.

Jelas Zahid, kerajaan juga mendapat nasihat daripada Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) untuk melakukan pembenihan awan mengikut luruan angin berdasarkan perkembangan semasa.

Berdasarkan bacaan pada pukul 9 pagi tadi, Kuching merekodkan IPU 235, manakala Sri Aman pula 214, masing-masing pada tahap sangat tidak sihat.

Serian pula merekodkan bacaan IPU 184, menunjukkan penurunan berbanding bacaan sebelumnya.

Terdahulu, Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara NADMA, Datuk Meor Ismail Meor Akim berkata, pembenihan awan di seluruh Sarawak sedang dilakukan sehingga Isnin ini bagi mengurangkan masalah jerebu yang melanda negeri berkenaan.

Untuk rekod, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan mengisytiharkan darurat di seluruh bahagian Serian kelmarin.

Bacaan IPU sifar hingga 50 menunjukkan kualiti udara baik, sederhana (51-100), tidak sihat (101-200) dan sangat tidak sihat (201-300), manakala IPU melebihi 300 dikategorikan berbahaya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here