SERDANG – Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan siasatan yang sedang dijalankan ke atas mana-mana pemimpin politik dan pegawai tertinggi agensi kerajaan ketika ini tidak didorong unsur dendam atau iri hati.
Perdana Menteri menegaskan, beliau langsung tidak terlibat dengan siasatan yang dilakukan oleh pihak berkuasa terbabit sebelum keputusan pendakwaaan ditentukan Peguam Negara.
Menurut beliau, tugas yang menjadi keutamaannya adalah dengan memastikan kerajaan ditadbir berlandaskan peraturan bagi menghentikan penyelewangan gejala rasuah.
“Ada kata fasal dendam atau iri hati. Yang siasat bukan saya, yang siasat itu badan-badan penguatkuasa. Yang memutuskan untuk mendakwa Peguam Negara dan pasukan dia yang meneliti setiap kes.
“Yang menghukum itu hakim. Apa tugas saya adalah memastikan pemerintahan ikut hukum itu berjalan. Penyelewengan rasuah dihentikan, ini bukan momokan politik biasa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2026 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang di sini hari ini.
Baru-baru ini, beberapa pemimpin politik dan tokoh berpengaruh telah didakwa di mahkamah selain terdapat siasatan yang sedang dilakukan ke atas beberapa yang lain melibatkan pelbagai kes daripada rasuah, salah guna kuasa, dan penyelewengan dana.
Sementara itu, edisi ke-14 MAHA yang berlangsung selama 10 hari bermula 28 Ogos lalu akan melabuhkan tirainya pada hari ini.
MAHA merupakan platform utama sektor pertanian negara yang menghimpunkan pemain industri, agensi kerajaan, usahawan serta institusi penyelidikan dan pendidikan tinggi bagi mengetengahkan inovasi, teknologi dan peluang perniagaan dalam sektor agromakanan. – MalaysiaGazette
















