SERDANG – Isu dakwaan penyelewengan, salah guna kuasa dan rasuah membabitkan anak syarikat Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) akan didedahkan dalam beberapa minggu ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memberi jaminan itu berkata, isu tersebut perlu dibongkar disebabkan pengurusan agensi yang lemah dan amalan mengambil hak rakyat oleh orang yang diberi amanah.
Tegas beliau, tindakan tersebut perlu diambil kerana bertanggungjawab ke atas Felda dan rasa empati yang tidak sanggup membebankan golongan peneroka di kampung.
“Peneroka yang harus bayar. Jadi saya bertanggungjawab ke atas Felda sekarang. Saya tak tahu sebagai manusia, saya nak bebankan peneroka dari kampung-kampung, halamannya miskin, bukan salah mereka.
“Dia bekerja. Masuk hutan belantara, melebas hutan, ada hasilnya, urus lemah, wang songlap atau ada sakau. Kemudian bila rugi, nak bebankan orang kampung, peneroka. Saya tak sanggup. Jadi terpaksa kerajaan tanggung, berapa? Hampir RM1 bilion setahun,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2026 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang di sini hari ini.
Minggu lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak menolak kemungkinan beberapa individu akan ditahan secara berperingkat bermula minggu depan berhubung dakwaan penyelewengan, salah guna kuasa dan rasuah membabitkan anak syarikat Felda.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman berkata, setakat ini seramai 12 individu sudah dipanggil bagi membantu siasatan berhubung kes berkenaan.
Menurutnya, mereka terdiri daripada tiga Ahli Lembaga Pengarah Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC), seorang Setiausaha FIC, dua pegawai Bahagian Perundangan FIC, seorang jurunilai, tiga individu daripada firma guaman, seorang pegawai Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Kuala Lumpur serta seorang pegawai Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) Kuala Lumpur.
“Beberapa tangkapan dijangka dilakukan dalam masa terdekat secara berperingkat dan ia dijangka bermula seawal awal minggu hadapan,” katanya dalam sidang media, Rabu lalu.
Abd Halim berkata, SPRM membuka tujuh kertas siasatan menerusi operasi khas berskala besar dikenali sebagai OPS FELLA yang memfokuskan transaksi pelaburan serta pengambilalihan aset oleh pengurusan FELDA dan FIC bagi tempoh 10 tahun antara 2010 hingga 2020.
Katanya, enam kertas siasatan baharu dibuka pada 24 Ogos lalu, manakala satu lagi adalah kertas siasatan lama yang masih aktif dan kini melalui proses Bantuan Perundangan Bersama (MLA). – MalaysiaGazette
















