ISKANDAR PUTERI – Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Skudai, Marina Ibrahim dilantik sebagai Pegawai Khas Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ) bagi masyarakat orang asli di Johor.
Pelantikan itu diumumkan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, sebagai wakil khas kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bagi mendekati dan memahami keperluan masyarakat orang asli di negeri ini.
“Dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong yang juga Sultan Johor, Sultan Ibrahim kini ada pegawai khas baharu iaitu Marina Ibrahim.
“Selain itu, Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar negeri, Md Israk Abdullah turut membantu menjaga kebajikan masyarakat orang asli di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikan ketika berucap dalam Karnival Sukan Orang Asli Peringkat Kebangsaan 2026 di Kompleks Sukan EduCity di sini hari ini.
Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yakin Marina mampu memainkan peranan berkesan dengan turun padang ke kampung orang asli bagi menyelami sendiri isu dan cabaran yang dihadapi masyarakat berkenaan.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, pelantikan itu penting bagi memastikan segala permasalahan masyarakat orang asli dapat dikenal pasti dan diberikan perhatian sewajarnya.
“Saya yakin Marina akan turun ke bawah, termasuk ke kira-kira 60 kampung orang asli di Johor, untuk menyelami masalah yang dihadapi mereka. Seterusnya, kemajuan serta kesejahteraan masyarakat Orang Asli akan ditingkatkan,” katanya.
Dalam pada itu, Marina yang ditemui berkata, beliau melihat pelantikan itu sebagai satu amanah besar untuk memastikan perubahan dapat dilaksanakan khususnya dalam meningkatkan kebajikan masyarakat Orang Asli di Johor.
Beliau menegaskan pelantikannya itu bukan lantikan politik, sebaliknya dibuat dengan perkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim.
“Saya akan galas satu tanggungjawab yang sebenarnya bukan baharu untuk saya kerana sebelum ini juga saya terbabit dengan kerja sukarelawan dan banyak aktiviti di kampung orang asli.
“Ini adalah salah satu cara saya menjunjung titah dan menjunjung kemuliaan Sultan Johor atas satu tanggungjawab yang bagi saya sangat besar untuk memastikan ada perubahan yang dilaksanakan, terutama untuk masyarakat arang asli di Johor,” katanya.
Marina yang menyertai DAP pada 2017 pernah berkhidmat sebagai ADUN Skudai sejak Mac 2022 selepas memenangi kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dengan majoriti 13,943 undi.
Bagaimanapun, beliau mengumumkan keputusan untuk tidak mempertahankan kerusi DUN Skudai dan berundur daripada arena politik pada PRN Johor lalu bagi memberi tumpuan semula kepada kerja kemasyarakatan pada Mei lalu.- MalaysiaGazette
















