KOTA TINGGI – Seorang warga emas yang berang, tergamak menetak isterinya dengan parang hanya kerana memasang televisyen dengan kuat dalam kejadian di Taman Desa Sejahtera di sini malam tadi.
Dalam kejadian pukul 9.30 malam itu, wanita tempatan berusia 70-an itu mengalami luka kecil satu sentimeter sebelum kejadian tersebut dilaporkan di Pusat Kawalan Daerah (DCC) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi.
Mangsa dilaporkan berada dalam keadaan stabil selepas menerima rawatan di Hospital Kota Tinggi (HKT).
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Yusof Othman berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam berhubung kejadian wanita berkenaan yang berada dalam keadaan berdarah akibat ditetak suaminya.
“Susulan maklumat berkenaan, sepasukan pegawai dan anggota polis dari IPD Kota Tinggi bergegas ke lokasi kejadian dan berjaya menangkap suspek yang juga suami mangsa berusia 70-an itu.
“Siasatan mendapati kejadian berlaku akibat perselisihan faham selepas mangsa memasang televisyen dengan kuat. Suspek yang berada dalam keadaan mabuk kemudiannya bertindak menetak mangsa sebanyak satu kali di tangan kanan menggunakan sebilah parang,” katanya dalam kenyataan akhbar.
Beliau memberitahu, kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata berbahaya.
Jika sabit kesalahan, pelaku boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan, atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut.
Kejadian tersebut tular dalam media sosial dan beberapa foto di rumah mangsa dimuat naik sehingga mendapat simpati serta kecaman netizen. – MalaysiaGazette
















