MELAKA – Polis mengeluarkan 97 saman atas pelbagai kesalahan lalu lintas termasuk terhadap sekumpulan penunggang motosikal yang tular disyaki terbabit kegiatan mat rempit di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) di sini awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Halim Abas berkata, tindakan itu selepas pihaknya mengesan satu hantaran yang tular di Facebook berkaitan kegiatan mat rempit di sekitar Lebuh AMJ dekat Melaka Sentral menerusi video berdurasi 29 saat.
Menurutnya, polis turut menerima aduan awam berhubung kegiatan sekumpulan penunggang motosikal yang disyaki terbabit dalam aktiviti berkenaan kira-kira jam 3.10 pagi tadi.
“Susulan aduan tersebut, polis telah menjalankan kawalan dan pemantauan di lokasi sebelum polis membuat dua tangkapan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana disyaki memandu secara melulu dan membahayakan.
“Polis turut menyita lapan motosikal sepanjang operasi yang dijalankan di kawasan lain sekitar daerah Melaka Tengah dan secara keseluruhannya, sebanyak 97 keping saman telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan lalu lintas sepanjang operasi berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, polis mengambil kira peningkatan aktiviti serta penganjuran pelbagai acara di negeri Melaka yang menarik kehadiran orang luar, sekali gus menyumbang kepada pertambahan aliran trafik dan penggunaan motosikal di beberapa lokasi tumpuan.
“Sehubungan itu, pihak polis akan terus mempertingkatkan rondaan, pemantauan dan tindakan penguatkuasaan bagi membanteras kegiatan mat rempit serta memastikan keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara,” katanya..
Halim berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan lumba haram, mat rempit atau sebarang kesalahan jalan raya diseru supaya menyalurkan maklumat kepada pihak polis melalui saluran yang disediakan. – MalaysiaGazette
















