KUALA LUMPUR – Tujuh pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) dilaporkan masih menerima rawatan serta pemantauan perubatan berikutan insiden berkaitan haba ketika menyertai acara jalan lasak pada program Komander Kesatria Endurance Challenge (KKEC) 2026 di Kampus Jengka, Pahang.
Naib Canselor UiTM Prof Datuk Dr. Shahrin Sahib@Sahibuddin menerusi kenyataan hari ini berkata, pihak pengurusan universiti memberikan perhatian khusus terhadap tahap kesihatan serta kebajikan kesemua mahasiswa universiti berkenaan yang kini ditempatkan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS), Temerloh dan Hospital Jengka di Pahang.
“Berdasarkan maklumat terkini di HOSHAS, Liya Zafirah Muhammad daripada cawangan Perak masih menerima rawatan di unit rawatan rapi (ICU), manakala Meor Aqil Wildan daripada cawangan Perlis turut berada dalam pemantauan rapi di hospital sama.
“Lima lagi pelajar di Hospital Jengka ialah Nur Nabihah Musyidah Md Nasri (cawangan Johor Kampus Segamat), Nur Alia Farhana Abdul Fattah (cawangan Pahang Kampus Jengka), Muhamad Adam Azfar Suzaini dan Muhammad Anas Shahrul Nizat (cawangan Johor), serta Izzharith Zafran Muhammad Zulkarnain (cawangan Pahang),” katanya.
Beliau berkata UiTM memberikan jaminan berterusan untuk berhubung rapat dengan hospital dan keluarga terlibat bagi menyampaikan maklumat terkini tentang perkembangan kesihatan mereka.
Sebagai langkah serta-merta susulan insiden terbabit, Shahrin berkata, pihak pentadbiran universiti membuat keputusan untuk membatalkan seluruh pertandingan yang melibatkan aktiviti luar KKEC 2026 yang dijadualkan berlangsung pada hari ini.
Beliau berkata, keputusan tegas itu diambil memandangkan keselamatan, kesihatan dan kebajikan mahasiswa sentiasa menjadi keutamaan yang tidak boleh dikompromi.
Mengulas lanjut, beliau turut memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa bagi membantu sebarang siasatan berhubung kejadian tersebut, di samping membuat penilaian secara menyeluruh terhadap prosedur keselamatan, saringan kesihatan, pengurusan risiko serta tindakan kecemasan penganjuran program.
“Langkah penambahbaikan ini penting bagi memperkukuh dan memperkemas setiap proses pelaksanaan aktiviti pelajar pada masa hadapan.
“Segala bentuk sokongan merangkumi logistik, pengangkutan dan bantuan pengurusan turut digerakkan sepenuhnya bagi meringankan beban keluarga mangsa,” katanya.
Sementara itu, Shahrin berkata, pihak pengurusan telah mengarahkan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UiTM Prof Dr Mohd Sazili Shahibi untuk berada di lapangan bagi memantau kebajikan pelajar yang terjejas secara terus.
Beliau berkata, barisan tertinggi universiti bersama-sama Rektor UiTM cawangan Pahang Prof Dr Azhan Hashim@Ismail juga telah hadir bagi menyampaikan penghormatan terakhir serta menyempurnakan urusan pengebumian seorang pelajar yang meninggal dunia dalam kejadian sama.
Sehubungan dengan itu, Shahrin menggesa orang ramai untuk menghormati privasi keluarga pelajar dan mengelakkan sebarang spekulasi yang belum disahkan.
Terdahulu, seorang peserta KKEC 2026 daripada UiTM Negeri Sembilan Kampus Seremban Fadhlan Fakhry Solana Mohd Fellimal, 21, dilaporkan rebah ketika menyertai acara itu pada Jumaat lepas sebelum menerima rawatan di ICU HOSHAS dan disahkan meninggal dunia kira-kira 2 petang, semalam.
Ketua Polis Daerah Maran Superintendan Wong Kim Wai berkata, siasatan awal mendapati peserta terbabit dipercayai mengalami sesak nafas semasa menyertai acara berkenaan dan dibawa ke Hospital Jengka sebelum tenat disebabkan penurunan oksigen.
Jenazah anak kedua daripada empat beradik itu tiba di Masjid Raja Bendahara Tengku Badar Shah, Denai Alam, di sini pada 6.05 pagi tadi sebelum dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Elmina pada 8.50 pagi untuk dikebumikan. – BERNAMA
















