BATU PAHAT – Seorang kanak-kanak berusia dua tahun mengalami kecederaan hampir seluruh badan selepas diserang sekumpulan anjing liar di hadapan rumahnya di Peserai di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, siasatan awal Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat mendapati kejadian dipercayai berlaku pada pukul 7 pagi.
“Kejadian dipercayai berlaku semasa mangsa berada di hadapan rumah diserang sekumpulan anjing liar di kawasan tersebut menyebabkan mangsa mengalami kecederaan hampir seluruh badan.
“Mangsa pada awalnya dibawa oleh ahli keluarga bagi mendapatkan pemeriksaan dan rawatan di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) di sini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mangsa kemudian dipindahkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut.
Katanya, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 (Pengabaian kanak-kanak) dan Seksyen 289 Kanun Keseksaan (Kecuaian berkenaan dengan haiwan).- MalaysiaGazette
















