MELAKA – Kira-kira 56.3 peratus lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Melaka memilih laluan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), sekali gus meletakkan negeri itu antara yang mencatat peratusan penyertaan tertinggi.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pencapaian itu membuktikan Melaka mempunyai potensi besar dalam melahirkan tenaga kerja berkemahiran bagi memenuhi keperluan industri.
Menurutnya, angka berkenaan juga menunjukkan penerimaan anak muda Melaka terhadap pendidikan berasaskan teknikal dan kemahiran semakin tinggi.
“Melaka walaupun kecil sedikit berbanding dengan negeri-negeri jirannya, tetapi institusi TVET dan pelajar-pelajar yang memasuki TVET adalah merupakan kira-kira 56.3 peratus daripada lepasan SPM.
“Peratusan ini antara yang tertinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutupan Karnival Anak Muda Negeri Melaka 2026 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini hari ini.
Hadir sama, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, potensi besar golongan muda Melaka perlu dimanfaatkan menerusi penyediaan lebih banyak peluang pendidikan, latihan kemahiran teknikal dan bidang profesional.
Menurutnya, perkara itu penting memandangkan Melaka mempunyai kira-kira 293,000 anak muda berusia antara 15 hingga 30 tahun, manakala hampir 53 peratus penduduk negeri itu berusia 40 tahun ke bawah.
“Ertinya, potensi tenaga kerja di Melaka ini cukup besar kerana ia bergantung kepada guna tenaga anak-anak muda di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata, sambutan terhadap TVET juga perlu dilihat dalam konteks lebih luas apabila golongan muda kini tidak hanya bergantung kepada laluan akademik konvensional, sebaliknya semakin terbuka memilih bidang teknikal dan kemahiran yang memenuhi keperluan industri.
Menurutnya, penglibatan anak muda dalam pendidikan teknikal, bidang profesional, keusahawanan dan pelbagai sektor ekonomi akan menjadi antara pemacu utama pembangunan Melaka pada masa hadapan.
“Apabila potensinya besar, ertinya banyak perkara yang boleh digarap oleh kita,” katanya. – MalaysiaGazette
















