KUALA LUMPUR – Dakwaan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berhubung dakwaan bahawa pihak Amerika Syarikat (AS) pernah menawarkan bantuan kepada parti itu untuk menjatuhkan Kerajaan Barisan Nasional (BN) yang ketika itu dipimpin oleh Datuk Seri Najib Razak wajar disiasat.
Penganalis politik, Syed Rosli Jamalullail berkata, rakyat juga wajar membuat laporan polis mengenai pendedahan yang sama.
“Dakwaan ini bukan perkara kecil kerana jika benar, ia boleh melibatkan isu kedaulatan negara, campur tangan kuasa asing serta cubaan mempengaruhi proses politik dan pemerintahan Malaysia.
“Lebih membimbangkan ialah kenyataan bahawa wakil Kedutaan AS dikatakan pernah bertanyakan kepada pemimpin Pas sama ada terdapat perancangan untuk menjatuhkan Kerajaan BN pada ketika itu,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Syed rosli, walaupun pihak Kedutaan AS telah menafikan dakwaan tersebut namun terdapat percanggahan antara dakwaan dan penafian rasmi, jadi persoalan itu perlu dijawab berdasarkan fakta dan bukti bukan dibiarkan menjadi polemik politik semata-mata.
“Saya mencadangkan agar rakyat Malaysia yang memandang serius isu ini turut membuat laporan polis bagi meminta pihak berkuasa menjalankan siasatan secara rasmi dan menyeluruh terhadap dakwaan tersebut.
“Laporan polis bukan bermaksud kita telah menghukum atau menuduh mana-mana pihak bersalah. Sebaliknya, ia merupakan saluran yang sah untuk meminta pihak berkuasa menyiasat, mendapatkan bukti dan menentukan kebenaran,” katanya lagi.
Menurut beliau, Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga wajar mendapatkan keterangan daripada semua pihak yang mempunyai pengetahuan mengenai dakwaan tersebut serta meneliti sebarang dokumen, rekod komunikasi atau bukti lain yang berkaitan.
“Persoalan yang perlu dijawab adakah benar wujud tawaran bantuan daripada pihak asing untuk menjatuhkan Kerajaan BN? Jika benar, siapa yang terlibat, apakah bentuk bantuan yang ditawarkan dan apakah tujuan sebenar di sebalik usaha tersebut?” soalnya.
Sebaliknya, jika dakwaan itu tidak benar maka siasatan juga penting untuk membuktikan perkara tersebut secara jelas kepada rakyat.
“Ini bukan soal Pas, UMNO, BN, PH atau PN. Ini soal Malaysia. Kita mungkin berbeza parti dan ideologi tetapi dalam soal kedaulatan negara, sebarang dakwaan campur tangan kuasa asing dalam politik Malaysia tidak boleh dipandang ringan,” katanya. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
















