SHAH ALAM – Peningkatan enrolmen murid dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) kepada 50.83 peratus masih belum berjaya merapatkan jurang penyertaan dalam aliran sains tulen yang kekal sekitar 15.8 peratus.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keadaan itu menunjukkan peningkatan minat terhadap STEM belum diterjemahkan kepada peningkatan ketara dalam penguasaan dan penyertaan pelajar dalam bidang sains tulen.
“Justeru, tugas kita bukan sekadar menggalakkan lebih ramai pelajar memilih STEM. Kita mesti memastikan mereka terus bertahan, berkembang dan berjaya dalam bidang tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya yang dibaca Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Chang Lih Kang pada Peringkat Akhir Cabaran Sains Kebangsaan 2026 Piala Pusingan YAB Perdana Menteri hari ini.

Anwar berkata, usaha memperkukuh STEM perlu turut meneliti faktor yang menyebabkan pelajar tidak meneruskan pengajian dalam bidang berkenaan selepas memilihnya.
Dalam masa sama, katanya, guru memainkan peranan penting dalam merapatkan jurang itu dengan mencetuskan rasa ingin tahu dan membina keyakinan generasi muda terhadap bidang sains.
“Guru bukan sekadar penyampai ilmu tetapi pencetus rasa ingin tahu dan pembina keyakinan generasi muda,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mahu MOSTI dan Akademi Sains Malaysia (ASM), bersama Kementerian Pendidikan serta rakan strategik menjadikan Cabaran Sains Kebangsaan (NSC) sebagai laluan pembangunan bakat secara berterusan bukan sekadar pertandingan tahunan.
Katanya, peserta berpotensi khususnya dari kawasan luar bandar, Sabah dan Sarawak serta keluarga berpendapatan rendah perlu terus dihubungkan dengan mentor, makmal, biasiswa dan rangkaian inovasi.
“Malaysia memerlukan lebih ramai bakat STEM bagi membina masa hadapan negara yang lebih maju, berdaya saing dan berdaya tahan.
“Sebab itu kita mesti terus memperkukuh ekosistem yang membuka lebih banyak peluang kepada generasi muda untuk berkembang melalui universiti, penyelidikan, industri mahupun syarikat pemula,” katanya. – MalaysiaGazette
















