GEORGE TOWN – Kerajaan Pulau Pinang akan melelong sebidang tanah strategik seluas enam ekar bagi membantu mendapatkan aliran tunai untuk memastikan projek Jalan Pintasan Ayer Itam ke Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu (Ayer Itam-LCE) dapat disiapkan sepenuhnya menjelang April 2027.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pengangkutan negeri, Zairil Khir Johari berkata, projek berkenaan kini mencapai kemajuan fizikal 92.46 peratus setakat 31 Ogos lalu manakala kemajuan kewangan adalah 81.69 peratus.
Beliau berkata, projek itu dibiayai menerusi kaedah pertukaran tanah (land swap), dengan plot tanah diberi milik berdasarkan tuntutan kerja yang sudah disiapkan kontraktor, Consortium Zenith Construction Sdn Bhd (CZC).
“Walaupun kemajuan fizikal sudah mencapai 92.46 peratus, kemajuan kewangan hanya 81.69 peratus. Dalam erti kata lain, kontraktor projek iaitu Consortium Zenith Construction Sdn Bhd (CZC) telah menuntut tanah bernilai hanya RM695.977 juta setakat ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Zairil berkata, daripada jumlah itu, tanah seluas 11.6183 ekar bernilai RM427.657 juta sudah diberi milik manakala baki nilai tanah yang dituntut tetapi belum diberi milik berjumlah RM225.768 juta.
Katanya, CZC memerlukan bantuan kerajaan negeri untuk mengewangkan tanah berkenaan menerusi penjualan bagi mendapatkan aliran wang tunai supaya projek dapat disiapkan sepenuhnya.
“Sehubungan itu, kerajaan negeri bersetuju menjalankan lelongan awam sebidang tanah yang menjadi sebahagian daripada tuntutan CZC bagi kerja yang sudah disiapkan,” katanya.
Tanah pegangan bebas seluas enam ekar di P.T. 858 (Plot 7A), Seksyen 2, Bandar Tanjung Pinang, Daerah Timur Laut itu mempunyai harga rizab RM313.632 juta atau RM1,200 sekaki persegi.
Tanah berkenaan yang bersebelahan Gurney Bay dan Pulau Andaman akan dilelong pada 7 Oktober ini, jam 11 pagi di Aras 51, Komtar.
Maklumat lanjut mengenai terma dan syarat lelongan, prosedur penyertaan serta butiran hartanah boleh diperoleh daripada ejen lelong yang dilantik, One Asia Property Consultants (PG) Sdn Bhd di 25-F, Jalan Gottlieb di sini, atau menerusi talian 04 227 7222. – MalaysiaGazette
















