Lembaga Tabung Haji

ISU melingkari Lembaga Tabung Haji (TH) yang tercetus susulan pendedahan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) baru-baru ini mengajar kita sekurang-kurangnya satu perkara.

Pertikaian audit yang timbul tidak wajar dilihat sekadar pertembungan angka atau perbezaan kaedah perakaunan.

Sebaliknya, ia menyelitkan persoalan jauh lebih besar. Sejauh mana sistem semak dan imbang negara mampu memastikan dana berkepentingan awam diurus secara telus, berhemat serta bertanggungjawab?

Polemik TH sebenarnya memberi pengajaran penting bahawa audit bukan sekadar usaha mengesan kesilapan angka.

Ia merangkumi skop pemeriksaan, ketercapaian maklumat, piawaian yang diguna pakai, pertimbangan profesional dan paling utama, tindakan susulan selepas sesuatu kelemahan dikenal pasti.

Atas dasar itu, pindaan Akta Audit 1957 menjadi antara reformasi institusi cukup signifikan di bawah Kerajaan MADANI pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Akta berkenaan yang kali terakhir dipinda pada 1991, diluluskan Parlimen pada 2024 bagi memperluas kuasa Ketua Audit Negara terhadap badan dan entiti tertentu termasuk syarikat yang menerima jaminan kewangan kerajaan.

Susulan itu, bermula 1 November 2024, sebanyak 1,856 entiti diwartakan untuk tujuan pengauditan, meningkat lebih dua kali ganda berbanding 925 entiti pada 2022, dengan 1,851 daripadanya membabitkan syarikat.

Di bawah akta ini, satu falsafah penting wajar diamati iaitu prinsip follow the public money. Maksudnya mudah, namun implikasinya amat besar.

Jika wang awam bergerak daripada kementerian kepada sesebuah badan, seterusnya mengalir ke syarikat, anak syarikat atau menerusi sebarang bentuk jaminan kerajaan, jejak dana itu tidak sepatutnya terputus sebaik sahaja memasuki struktur korporat.

Prinsip ini amat kritikal dalam konteks negara hari ini yang mempunyai jaringan kompleks agensi, badan berkanun, syarikat milik kerajaan, anak syarikat, syarikat tujuan khas dan pelbagai bentuk pelaburan awam.

Jabatan Audit Negara sendiri menegaskan pengauditan terhadap 1,856 entiti terbabit bukan sekadar meneliti penyata kewangan, malah merangkumi objektif penubuhan serta aspek tadbir urus.

Dalam kata lain, reformasi audit bukan sekadar mengesan ketirisan selepas ia berlaku, sebaliknya bertindak sebagai mekanisme pencegahan.

Pihak pengurusan kini sedar keputusan pelaburan, struktur korporat, pelantikan lembaga, prestasi kewangan dan penggunaan sumber sentiasa terbuka untuk diteliti.
Kuncinya di sini, risiko penipuan dan kelemahan tadbir urus menjadi semakin sukar disembunyikan di sebalik lapisan korporat.

Menyorot perkembangan TH, ia jelas membuktikan keperluan kuasa berkenaan. RCI bukan sahaja mencadangkan audit forensik terhadap pelaburan tertentu malah mengenal pasti kelemahan pengurusan, operasi serta transaksi yang mencurigakan.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kini meneliti laporan berkenaan menerusi pasukan khas, manakala Jabatan Peguam Negara (AGC) turut menjalankan semakan bagi menentukan wujudnya pelanggaran undang-undang yang memerlukan tindakan lanjut.

Selain pindaan Akta Audit 1957, satu lagi agenda reformasi di bawah Kerajaan MADANI tidak kurang penting iaitu Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 (Akta 850).

Akta ini memperkukuh kerangka pengurusan kewangan negara berasaskan tanggungjawab, kebertanggungjawaban, tadbir urus serta ketelusan. Ia menyediakan kerangka jelas bagi pengurusan hasil, perbelanjaan, pinjaman, hutang dan risiko fiskal kerajaan.

Secara ringkasnya, kerajaan tidak boleh lagi menganggap wang pinjaman sebagai dana percuma. Sebaliknya, setiap pinjaman hari ini membawa kos masa depan manakala setiap komitmen kewangan perlu mengambil kira keupayaan negara untuk membayar balik, selain setiap perbelanjaan dinilai mengikut keutamaan serta impaknya kepada rakyat.

Dalam hal ini, pencapaian konkrit sudah mula kelihatan. Kementerian Kewangan (MOF) melaporkan defisit fiskal menurun daripada 6.4 peratus Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) pada 2021 kepada 3.7 peratus pada 2025.

Jumlah hutang baharu pula menyusut daripada RM100 bilion pada 2021 dan 2022 kepada RM75.6 bilion pada 2025.

Ini bukan bermakna isu fiskal negara sudah selesai sepenuhnya kerana hutang kerajaan masih besar, keperluan pembangunan kian meningkat dan tekanan membiayai subsidi, kesihatan, pendidikan serta perlindungan sosial akan terus berterusan.

Bagaimanapun, disiplin fiskal memberi ruang kepada kerajaan untuk mendepani krisis tanpa terlalu bergantung kepada kebiasaan menambah hutang baharu.

Di sinilah dua agenda reformasi ini saling melengkapi. Audit memastikan wang awam dapat dijejaki dan dipertanggungjawabkan manakala disiplin fiskal memastikan kerajaan tidak berbelanja melebihi kemampuan secara berterusan.

Namun, adakah agenda reformasi MADANI sudah selesai? Jawapannya jelas, belum. Sebagai contoh, isu pemansuhan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU).

Namun Perdana Menteri baru-baru ini memberi jaminan AUKU akan dimansuhkan sepenuhnya tanpa digantikan dengan undang-undang baharu yang mengongkong mahasiswa.

Ia satu langkah penting ke arah memperluas ruang kebebasan bersuara, berpersatuan dan aktiviti mahasiswa, dengan kerangka perundangan baharu pendidikan tinggi melalui pendekatan one higher education act sedang dibangunkan.

Begitu juga cadangan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun yang memerlukan pindaan Perlembagaan Persekutuan dan bukan sekadar janji politik.

Rancangan Undang-Undang (RUU) berkenaan pada Mac lalu memperoleh 146 undi sokong namun gagal mencapai majoriti dua pertiga yang diperlukan iaitu 148 undi.

Satu yang jelas, cadangan memisahkan fungsi Peguam Negara dan Pendakwa Raya turut membuktikan bahawa reformasi institusi bukan usaha yang boleh diselesaikan dalam satu sidang Parlimen sahaja.

RUU berkenaan telah dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas untuk penelitian lanjut sebelum laporannya dibentangkan di Dewan Rakyat.

Justeru, tidak adil sekiranya keseluruhan agenda reformasi Kerajaan MADANI dianggap sepi hanya disebabkan sebahagiannya belum dimaktubkan sebagai undang-undang.

Reformasi yang menyentuh struktur kuasa negara memerlukan pindaan undang-undang, penelitian jawatankuasa, sokongan Parlimen, perkenan Diraja, rundingan antara institusi dan dalam sesetengah hal, pindaan Perlembagaan Persekutuan yang semuanya menuntut masa serta ketelitian tinggi.

Namun, masa bukan alasan untuk berlengah kerana ujian sebenar reformasi ialah konsistensi.

Apakah kerajaan sanggup memperluas kuasa audit walaupun ia berisiko mendedahkan kelemahan sendiri? Adakah kerajaan sanggup mengenakan disiplin fiskal biarpun sesetengah keputusan itu tidak popular?

Adakah kerajaan sanggup mengehadkan kuasa eksekutif dan memperkukuh institusi walaupun langkah itu akhirnya mengehadkan kuasa pemerintah sendiri?

Pertikaian audit TH sepatutnya menjadi peringatan bahawa reformasi bukan tentang siapa menang dalam perdebatan angka, sebaliknya membina sistem yang berupaya memberi jawapan apabila angka dipertikaikan.

Akhirnya, ukuran kejayaan reformasi bukan pada jumlah akta yang dipinda atau bilangan pengumuman dibuat.

Sebaliknya, ukuran sebanar sejauh mana rakyat boleh meyakini bahawa wang mereka boleh dijejaki, keputusan kerajaan boleh disemak, kuasa boleh dihadkan dan kesilapan boleh diperbetulkan.

Itulah janji sebenar reformasi MADANI. Bukan mewujudkan kerajaan yang tidak pernah silap, sebaliknya membina negara yang memiliki institusi cukup teguh untuk mengesan kesilapan, memperbetulkannya dan memastikan kesilapan sama tidak berulang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here