BATU PAHAT – Kecemerlangan akademik membuka laluan baharu buat Farraziela Muhd Rashid apabila pelajar terbaik Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2025 dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Bentara Luar, Batu Pahat itu menerima tajaan yuran pengajian ijazah sarjana muda daripada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
Farraziela yang memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.00 dalam STPM 2025 bakal meneruskan pengajian di Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dalam program Ijazah Sarjana Muda Teknologi Maklumat dengan Kepujian.
Penyerahan Surat Tajaan Yuran Pengajian Ijazah Sarjana Muda kepada Pelajar Terbaik STPM 2025 oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir itu turut menyaksikan UTHM memberikan sokongan terhadap pencapaian cemerlang Farraziela.
Mewakili Naib Canselor UTHM, Profesor Ts. Dr. Abdul Rasid Abdul Razzaq, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) turut menyerahkan simbolik penajaan KPT kepada Farraziela dalam sesi berkenaan yang berlangsung di hadapan Menteri Pendidikan Tinggi.
Penajaan berjumlah RM4,600 itu meliputi yuran pengajian berdasarkan kos pengajian bagi program yang ditawarkan kepada Farraziela di bawah penajaan Yuran Pengajian STPM Terbaik 2025.
Mengulas pencapaian tersebut, Prof. Rasid menyifatkan kejayaan Farraziela sebagai bukti bahawa kecemerlangan akademik mampu membuka ruang dan peluang pendidikan yang lebih luas kepada generasi muda.
“UTHM amat berbangga menerima Farraziela sebagai sebahagian daripada keluarga UTHM.
“Pencapaian PNGK 4.00 yang diraihnya bukan sahaja mencerminkan kecemerlangan akademik, malah menjadi bukti bahawa kesungguhan dan disiplin mampu membawa seseorang melangkah lebih jauh dalam pendidikan.
“Kami berharap peluang ini dimanfaatkan sebaiknya untuk membina kompetensi dalam bidang teknologi maklumat serta seterusnya menyumbang kepada pembangunan negara,” katanya.
Menurut beliau, peluang pendidikan yang diberikan kepada pelajar berprestasi tinggi perlu dimanfaatkan sebagai pemangkin untuk melahirkan lebih ramai bakat berkualiti yang mampu memenuhi keperluan industri dan negara, khususnya dalam bidang teknologi dan digital.
Anak kepada seorang bapa yang bekerja sendiri sebagai tukang urut dan ibu yang merupakan suri rumah itu kini bakal memulakan perjalanan akademik baharu di UTHM dengan membawa aspirasi untuk mengembangkan potensi dalam bidang teknologi maklumat.
“Penajaan yuran ini memberi ruang kepada saya untuk meneruskan pengajian tanpa perlu memikirkan kos yuran pengajian,” katanya.
Kejayaan Farraziela turut menjadi inspirasi bahawa latar belakang keluarga bukan penghalang untuk mencapai kecemerlangan, sebaliknya usaha, kesungguhan dan peluang pendidikan yang tersedia mampu menjadi pemangkin kepada perubahan masa depan. – MalaysiaGazette
















