PUTRAJAYA – Kerajaan tidak boleh menganggap pemberian bantuan tunai RM400 sebulan kepada pekebun kecil sebagai penyelesaian mutlak terhadap masalah yang dihadapi golongan itu, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, kerajaan perlu terus mendengar masalah peringkat akar umbi kerana keperluan rakyat sentiasa berubah mengikut keadaan ekonomi dan kos kehidupan.
Menurut beliau, bantuan yang diberikan kerajaan perlu dilihat sebagai sebahagian daripada usaha lebih menyeluruh untuk memperkukuh kedudukan pekebun kecil.
“Kalau wakil pekebun kerja tanya saya, cukup? Tentu dia jawab, tak cukup dan saya akui,” katanya berucap pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Perladangan dan Komoditi di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Anwar berkata, kira-kira 270,000 pekebun kecil termasuk pengusaha kecil sawit, getah, lada dan kenaf telah menerima Budi Agri-Komoditi RM400 sebulan setakat September 2026.
“Kerajaan perlu memastikan bantuan tersebut benar-benar sampai kepada kumpulan sasaran dan difahami oleh penerima,” katanya.
Beliau berkata, antara masalah yang sering berlaku ialah maklumat mengenai bantuan kerajaan tidak sampai dengan jelas kepada rakyat.
“Sekurang-kurangnya dia tahu. Jangan dia kata belum dapat apa-apa,” katanya.
Dalam masa sama, Anwar berkata, kerajaan meningkatkan sokongan kepada sektor komoditi menerusi pelbagai pendekatan termasuk insentif getah, bantuan penanaman semula sawit, pembiayaan mudah dan penyelenggaraan jalan ladang.
“Pendekatan tersebut menunjukkan kerajaan tidak berdiam diri terhadap masalah pekebun kecil,” katanya.
Namun beliau menegaskan, tuntutan untuk meningkatkan bantuan perlu mengambil kira tekanan terhadap ekonomi negara susulan perkembangan geopolitik dan kenaikan harga minyak dunia.
“Cuma kita kena faham juga keadaan ekonomi sekarang ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















