Shahbudin Embun

KUALA LUMPUR – Kerjasama politik antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) yang dikatakan semakin hampir menjadi kenyataan menimbulkan persoalan mengenai calon Perdana Menteri yang bakal diketengahkan jika gabungan itu memenangi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).

Pengerusi Biro Politik Sekretariat Gerak Gempur Media Sosial Rakyat (SekPur), Shahbudin Embun berkata, sekiranya Datuk Seri Anwar Ibrahim masih memperoleh mandat rakyat serta sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat selepas PRU-16, beliau wajar diberi peluang meneruskan kepimpinannya.

Menurutnya, perkara itu bukan berkaitan ketaksuban terhadap seseorang pemimpin, sebaliknya menyentuh soal kesinambungan pentadbiran negara.

“Dalam tempoh kepimpinannya, Anwar telah membawa Malaysia melalui pelbagai cabaran ekonomi, politik dan geopolitik. Beliau juga telah menetapkan satu standard yang tinggi untuk sesiapa sahaja yang mahu mengambil alih jawatan Perdana Menteri selepas beliau.

“Maka sesiapa yang mahu menjadi Perdana Menteri selepas Anwar perlu bersedia menjawab satu soalan yang mudah tetapi berat – adakah mereka mampu melakukan sekurang-kurangnya sama baik atau lebih baik daripada Anwar?” soalnya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, Shahbudin berkata, landskap politik negara sentiasa dinamik dan kemungkinan berlakunya perubahan kerajaan tidak boleh diketepikan sekiranya wujud kerjasama lebih kukuh antara BN, PN dan gabungan Wawasan selepas PRU-16.

Katanya, dalam situasi kerajaan gabungan, persoalan utama adalah mengenai tokoh yang mampu diterima semua pihak kerana presiden parti yang memperoleh jumlah kerusi terbanyak tidak semestinya secara automatik menjadi Perdana Menteri.

“Politik gabungan memerlukan rundingan dan konsensus selain seorang tokoh yang mampu menjadi titik pertemuan antara pelbagai kepentingan politik.

“Kita tidak boleh mengatakan hanya satu nama sahaja yang mempunyai peluang tetapi siapa paling bersedia. Inilah persoalan sebenar.

“Kita boleh mempunyai ramai calon dan pemimpin yang popular tetapi jawatan Perdana Menteri bukan pertandingan populariti. Ia memerlukan kompetensi dan pengalaman mentadbir sebuah negara,” jelasnya lagi.

Shahbudin berkata, pengganti Anwar juga tidak boleh bermula dari sifar kerana kepimpinan semasa telah meletakkan tahap jangkaan yang tinggi dalam kalangan rakyat.

Menurutnya, Malaysia tidak boleh mengambil risiko memilih pemimpin yang memerlukan tempoh terlalu lama untuk menyesuaikan diri dengan selok-belok pentadbiran Persekutuan.

“Negara sedang berdepan persaingan ekonomi global, perubahan teknologi, ketidaktentuan geopolitik dan cabaran kos sara hidup. Kita memerlukan Perdana Menteri yang boleh hit the ground running – terus bekerja dan membuat keputusan bukannya mengambil masa bertahun-tahun untuk memahami selok-belok pentadbiran Persekutuan.

“Atas sebab itu, pengalaman harus menjadi antara ukuran paling penting. PRU-16 bukan sekadar pertandingan antara BN, PN, Wawasan atau mana-mana blok politik tetapi pilihan raya yang akan menentukan masa depan Malaysia,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here