Timbalan Pengerusi Majlis Ulama UMNO, Datuk Wira Dr. Mohd Khairudin Aman Razali berucap pada Multaqa Ilmuwan Islam Malaysia di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 08 SEPTEMBER 2026.

KUALA LUMPUR – UMNO dan Pas mempunyai titik persamaan daripada segi dasar dan matlamat perjuangan.

Lantaran itu, kedua-dua parti berkenaan boleh mencari ruang bekerjasama walaupun mempunyai perbezaan daripada segi pendekatan politik, kata Timbalan Pengerusi Majlis Ulama UMNO Malaysia, Datuk Dr Mohd Khairudin Aman Razali.

Beliau berkata, perbezaan pandangan, pendekatan dan usaha tidak seharusnya menjadi penghalang untuk kedua-dua parti mencari titik persamaan demi kepentingan umat dan negara.

Menurutnya, Perlembagaan Pas meletakkan Islam sebagai dasar perjuangan parti manakala UMNO pula memperjuangkan cita-cita Islam termasuk menegakkan, mempertahankan dan mengembangkan Islam sebagai agama Persekutuan.

“Jadi, kedua-dua parti ini ada titik persamaan pada dasar dan juga tujuan. Kenapa tidak boleh bersatu dengan segala-galanya?

“Maksudnya, ada titik-titik di mana kita boleh bersatu berdasarkan ijtihad yang berbeza, sudut pandang yang berbeza dan usaha yang berbeza, tetapi ada titik persamaan kita,” katanya ketika memberikan komentar pada Program Multaqa Ilmuan 2.0 Islam Malaysia di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini hari ini.

Beliau yang juga bekas pemimpin Pas itu berkata demikian ketika mengulas mengenai keperluan menguruskan perbezaan politik antara UMNO dan Pas termasuk dalam suasana politik negara yang menyaksikan kerjasama antara parti-parti dengan ideologi berbeza.

Khairudin seterusnya berkata, keadaan politik semasa juga menunjukkan kerjasama politik boleh dibentuk berdasarkan titik persamaan walaupun parti-parti terbabit mempunyai perbezaan dalam perkara tertentu.

Katanya, UMNO ketika ini bersama Pakatan Harapan (PH) dalam kerajaan Persekutuan namun keadaan politik di negeri-negeri pula berbeza.

“Ketika mana kita masih berkerajaan pusat antara UMNO bersama dengan PH masih berkerajaan pusat, kita boleh menubuhkan kerajaan bersama dengan negeri semuanya atas titik persamaan.

“Ini semuanya dinamika berpolitik. Tinggal inilah bagaimana kita mengurus perbezaan,” ujarnya yang juga Penasihat Agama kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Dalam pada itu, beliau berkata, pembinaan sebuah negara yang sejahtera perlu mengambil semangat daripada pendekatan Nabi Muhammad SAW dalam membangunkan masyarakat dan negara.

Antara perkara asas yang perlu diberi perhatian ialah memastikan rakyat mempunyai keperluan asas termasuk makanan serta peluang pekerjaan.

“Bagi makan sehingga manusia mendapat keperluan asas. Itulah yang mesti dibuat oleh sebuah negara, pastikan manusia mendapat ruang untuk makan dengan menyediakan peluang bagi mereka yang akhirnya membolehkan peluang untuk kerja,” katanya.

Beliau turut menekankan kepentingan melahirkan generasi muda berkemahiran tinggi supaya mereka mempunyai peluang lebih luas untuk mendapatkan pekerjaan dan membina kehidupan yang lebih baik.

Menurutnya, pendidikan dan kemahiran perlu disediakan kepada anak-anak muda daripada pelbagai latar belakang tanpa mengira mereka datang dari bandar atau luar bandar.

Aspek kekeluargaan dan pembinaan masyarakat juga menjadi antara asas penting dalam membangunkan sebuah negara.

Beliau berkata, pembinaan masjid pada zaman Nabi Muhammad SAW turut menjadi asas dalam menyatukan umat atas dasar ibadah kepada Allah.

“Masjid Quba menjadi permulaannya di awal ketibaan Nabi SAW diikuti Masjid Nabawi di tengah bandar Madinah. Itulah asas kepada pembinaan negara, menyatukan umat atas dasar ibadah kepada Allah SWT,” jelasanya.

Justeru, Khairudin berkata, semangat daripada pembinaan negara oleh Nabi Muhammad SAW wajar dijadikan panduan dalam menguruskan perbezaan politik pada masa kini.

“Kalau kita ambil keadaan Nabi SAW dalam politik, damai, dalam politik sejahtera dan bernegara, itulah roh yang kita mahu ambil daripada pembinaan negara Nabi. Semangat daripada sirah kita pada hari ini,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here