KUALA LUMPUR – Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) dicadang dinamakan semula sebagai Akta Universiti (AU) bagi menyesuaikannya dengan perkembangan semasa institusi pendidikan tinggi negara.
Penasihat Undang-Undang Universiti Sains Malaysia (USM), Datuk Dr Khairul Anuar Che Azmi berkata, istilah ‘Kolej Universiti’ dalam nama AUKU juga dilihat tidak lagi relevan dengan landskap pendidikan tinggi ketika ini.
Beliau secara berseloroh berkata, nama baharu itu boleh disebut sebagai ‘AU’ secara lembut bukan disebut dengan nada keras sekali gus menjadikan nama berkenaan lebih mudah diterima.
Menurut beliau, cadangan menukar nama AUKU itu bagaimanapun perlu melalui proses sewajarnya termasuk penelitian di peringkat Parlimen dan Jabatan Peguam Negara.
“Kalau nama yang sedap sekarang ini, saya rasa namanya AU, Akta Universiti. Kolej Universiti memang tak wujud. Jadi namakannya AU.
“AU ini kita sebut AU yang lembut tapi kalau kita keraskan AU tersebut, AU. Maka kita mohon sekiranya dapat dipertimbangkan sebahagian proses untuk membawa perubahan ini ke Parlimen ataupun Jabatan Peguam Negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi ahli panel dalam Konvensyen Pendidikan Melayu berjudul AUKU dan Hala Tuju Pendidikan Tinggi Negara di Pusat Dagangan Dunia (WTCKL) hari ini.
Turut hadir adalah Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia, Profesor Dr Mohamad Shatar Sabran, Mantan Presiden Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan, Muhammad A’linur Ahlan Abu Bakar dan Presiden Majlis Profesor Negara, Profesor Datuk Dr Raduan Che Ros.
Khairul Anuar turut berkata, penamaan semula itu tidak semestinya bermakna keseluruhan kandungan AUKU perlu digantikan sebaliknya penelitian boleh dibuat terhadap peruntukan yang benar-benar berkaitan dengan mahasiswa.
Katanya, AUKU mempunyai 44 seksyen sedangkan hanya sebahagian daripadanya berkaitan secara langsung dengan mahasiswa termasuk Seksyen 15 dan 16.
“Kalau ada tujuh yang perlu diubah, kenapa kita nak gantikan semua? Tetapi kalau hasratnya untuk mengkonsolidasikan akta-akta lain maka kita minta supaya diberikan tempoh yang wajar untuk mengadakan satu akta yang lebih komprehensif,” katanya.
Pada 16 Ogos lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan pemansuhan AUKU 1971 tidak akan digantikan dengan undang-undang baharu yang mengongkong mahasiswa.
Anwar turut berkata, langkah berkenaan bagi membolehkan kebebasan mahasiswa tanpa menyekat kegiatan mereka di kampus. – MalaysiaGazette
















