Mantan Presiden, Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan, Muhammad Al'inur Ahlam Abu Bakar berucap pada Konvensyen Pendidikan Melayu 2026 bertemakan “Agenda Pendidikan Melayu” di Dewan Tun Hussein Onn, World Trade Centre Kuala Lumpur (WTC). Foto AIZAT ZAINAL, 08 SEPTEMBER 2026.

KUALA LUMPUR – Klausa khusus berkaitan mahasiswa perlu dikekalkan dalam akta baharu yang bakal menggantikan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) bagi memastikan kedudukan serta peranan mahasiswa terus diperkasakan.

Mantan Presiden Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan, Muhammad Al’inur Ahlan Abu Bakar berkata, pemansuhan AUKU tidak bermakna mahasiswa diketepikan daripada kerangka perundangan baharu sebaliknya peranan mereka perlu diperkukuh.

Akta baharu itu perlu memberikan ruang lebih besar kepada mahasiswa dalam tiga aspek utama iaitu autonomi kewangan dan penjanaan pendapatan, pemerkasaan organisasi serta kebebasan berpolitik dan bersuara.

“Persoalan yang timbul, adakah klausa mahasiswa tiada dalam akta baharu? Jawapannya, klausa mahasiswa perlu ada untuk memperkukuhkan kedudukan organisasi, memperkasakan peranan mahasiswa dan memudahkan pentadbiran.

“Bagaimana untuk kita memperkukuhkan, memperkasakan dan memudahkan urusan ini? Dengan langkah ke hadapan bersama akta baharu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Konvensyen Pendidikan Melayu berjudul AUKU dan Hala Tuju Pendidikan Tinggi Negara di Pusat Dagangan Dunia harii ini.

Beliau berkata, daripada sudut autonomi kewangan, mahasiswa pada masa ini sudah mempunyai ruang menguruskan akaun sendiri, menganjurkan program serta menerima sumbangan luar, namun aspirasi selepas pemansuhan AUKU adalah supaya mereka turut diberikan keupayaan menjana pendapatan sendiri.

Katanya, pengalaman pada era 1970-an menunjukkan kesatuan pelajar pernah mempunyai sumber kewangan tersendiri melalui sebahagian yuran pelajar sehingga mampu menguruskan perkhidmatan seperti bas dan kolej kediaman selain menyediakan bantuan serta pinjaman kepada mahasiswa.

Dalam aspek pemerkasaan organisasi pula, A’linur berkata, mahasiswa ketika ini sudah diberi ruang menghadiri mesyuarat universiti dan menyuarakan pandangan mengenai kebajikan serta perancangan institusi, namun kuasa mereka perlu diperluaskan kepada proses membuat keputusan.

“Pada masa akan datang, aspirasi kita adalah mahasiswa bukan sahaja boleh memberi pandangan tetapi mereka boleh membuat keputusan tentang masa depan universiti dan kebajikan pelajar.

“Kalau berkaitan kebajikan, keselamatan dan pengajian, biarlah pelajar turut menguruskannya,” katanya.

Bagi kebebasan berpolitik dan bersuara, beliau berkata, mahasiswa perlu terus diberi ruang menjadi pemikir serta jurucakap rakyat tanpa campur tangan yang tidak wajar daripada pihak universiti.

“Universiti bukan semata-mata tempat untuk melahirkan generasi, tetapi tempat untuk melahirkan pemikir dan jurucakap kepada rakyat,” katanya lagi.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan sembilan langkah dalam akta baharu, antaranya penubuhan Majlis Undangan Pelajar Kebangsaan yang dianggotai presiden Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), penglibatan mahasiswa dalam mesyuarat utama universiti serta penubuhan jawatankuasa pilihan kampus yang dikendalikan pelajar.

Cadangan lain termasuk memberi pilihan kepada badan pelajar untuk didaftarkan di bawah akta baharu atau universiti membolehkan MPP mengurus aset dan sumber sendiri melibatkan wakil pelajar dalam jawatankuasa saringan serta pemilihan jawatan utama universiti selain mengadakan mesyuarat pengurusan tetap antara universiti dan MPP.

Beliau turut mencadangkan setiap universiti menubuhkan Parlimen atau Dewan Mahasiswa secara mutlak sebagai platform rasmi untuk mahasiswa membincangkan isu, mengemukakan pandangan dan mengambil bahagian dalam perancangan universiti. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here