Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berucap pada Majlis Penutup Multaqa Ilmuwan Islam Malaysia di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 08 SEPTEMBER 2026.

KUALA LUMPUR – ‘Jangan ada dusta di antara kita’ menjadi penegasan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyeru penyatuan golongan ulama khususnya antara UMNO dan Pas.

Baginya ia bukan sekadar duduk bersama tetapi bekerjasama menyelesaikan masalah umat.

Ahmad Zahid berkata, penyatuan yang diharapkan bukan hanya dalam bentuk persefahaman politik sebaliknya perlu diterjemahkan melalui tindakan bersama terhadap perkara yang menjadi keutamaan umat.

“Bukan sekadar duduk bersama tetapi bekerja bersama-sama. Bukan sekadar sepakat dalam persefahaman politik tetapi sepakat pada perkara yang mesti kita selesaikan.

“Jangan ada khianat di kalangan kita. Jangan ada dusta di antara kita,” katanya ketika menyampaikan ucapan penutup Program Multaqa Ilmuan 2.0 di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia di sini hari ini.

Ahmad Zahid berkata, konsep penyatuan yang dibawa merangkumi wahdatul fiqh, wahdatul qulub dan wahdatul aman yang perlu digabungkan dalam satu gagasan lebih besar bagi memperkukuh umat.

Menurutnya, penyatuan juga perlu memberi tumpuan kepada pengukuhan institusi keluarga, perlindungan anak-anak serta pembinaan generasi yang mampu berdikari, mencipta nilai dan mempunyai kekuatan ekonomi.

“Di samping daya ilmu dan teknologi yang harus dikuasai oleh kita. Teknologi datang dalam gelombang yang lebih besar dan kita bukan sekadar mahu menjadi pengguna tetapi mencorakkan masa depan,” ujarnya.

Ahmad Zahid turut menegaskan, kepentingan memperkukuh keyakinan masyarakat terhadap institusi agama melalui tadbir urus yang amanah, telus dan berintegriti.

Perbezaan, katanya, perlu diuruskan dengan hikmah manakala teguran hendaklah dibuat berasaskan ilmu dan adab demi membolehkan umat bersatu menangani masalah lebih besar.

“Inilah wahdat yang saya maksudkan, kesatuan yang bekerja menyelesaikan masalah dan meninggalkan masalah. Ilmu mesti melahirkan pedoman, pedoman mesti menghasilkan tindakan dan tindakan mesti membawa perubahan yang dirasakan,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, golongan ulama mempunyai amanah besar untuk membimbing dan menyatukan umat, selain memastikan ilmu yang diwariskan tidak sekadar menjadi lambang kemuliaan.

Beliau mahu para ilmuwan tampil sebagai kelompok yang mampu melakukan transformasi terhadap umat dengan keluasan ilmu, keberanian membimbing serta kebijaksanaan dalam menangani perbezaan.

“Saya lebih cenderung untuk menggunakan istilah transformasi. Maka jadilah ilmuwan yang mentransformasikan dengan luas ilmu tetapi berani membimbing, bijaksana menasihati dan beretika memperbaiki umat,” katanya.

Ahmad Zahid turut berharap Majlis Ulama UMNO dapat menyediakan dalam tempoh 100 hari satu blueprint tindakan persefahaman yang praktikal dan berorientasikan hasil.

Katanya, blueprint berkenaan perlu merangkumi penyatuan umat, pengurusan perbezaan politik serta perkara utama yang berkaitan kepentingan umat.

Beliau berkata, hasil blueprint itu kemudiannya boleh dibentangkan dalam Majlis Perundingan Umat untuk dipersetujui dan dilaksanakan bersama.

Ahmad Zahid turut berharap pertemuan antara Dewan Ulama Pas dan Majlis Ulama UMNO bukan sekadar berlangsung untuk kali pertama dan terakhir sebaliknya menjadi titik permulaan kepada kerjasama yang lebih kukuh.

“Saya sengaja menarik tangan mereka, memaksa Ketua Dewan Ulama Pas untuk berada bersama-sama di atas pentas. Mudah-mudahan akan ada natijah yang terbaik daripada muafakat ini,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here