Logo SPRM di Putrajaya.

KUALA LUMPUR – Seorang bekas menteri yang direman berkait isu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji (TH) telah dilepaskan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurut sumber, suspek lelaki berusia 60-an itu telah ditahan reman selama tujuh hari sehingga hari ini dan telah dilepaskan sebaik tempoh reman terhadapnya tamat.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman mengesahkan perkata tersebut dan berkata, suspek telah dilepaskan dengan jaminan SPRM.

Sebelum ini, media melaporkan, bekas menteri berkenaan telah ditahan reman bagi membantu siasatan susulan Laporan RCI TH berkaitan pelaburan pajakan hotel di Mekah dan Madinah.

Perintah reman sehingga 6 September lalu dikeluarkan Majistret Ezrene Zakariah selepas membenarkan permohonan SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya.

Difahamkan, individu berusia 60-an itu ditahan bagi membantu siasatan berhubung isu pajakan hotel di Arab Saudi yang didakwa menjadi antara kerugian terbesar dalam senarai pelaburan bermasalah yang dihadapi TH.

Sebelum ini, bekas Pengerusi dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif TH serta bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan turut ditahan SPRM susulan pendedahan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) TH.

Kedua-dua individu bergelar Datuk Seri dan Tan Sri itu ditahan reman bermula 27 Ogos lalu dan tempoh reman mereka berakhir 1 September.

SPRM juga sebelum ini menahan tujuh individu bagi membantu siasatan berkaitan RCI TH termasuk seorang bekas ketua pegawai eksekutif syarikat perkapalan, seorang pengarah syarikat pembinaan, seorang bekas pengarah syarikat serta empat bekas pengurusan kanan TH.

Laporan RCI TH didedahkan pada 29 Julai lalu mengemukakan 25 syor utama bagi memperkukuh aspek ketelusan, profesionalisme dan tadbir urus institusi berkenaan.

Antara syor utama laporan itu ialah melarang ahli politik aktif daripada menduduki Lembaga Pengarah TH bagi mengelakkan campur tangan politik dalam pengurusan institusi berkenaan.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here