Mohideen.

GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) mendedahkan kepada umum dapatan siasatan berhubung perlanggaran Feri Teluk Bahang dan kapal MV Mekar Jaya, pada 1 September lalu.

Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader berkata, orang ramai berhak mengetahui punca perlanggaran yang berlaku dalam sempadan Pelabuhan Pulau Pinang berhampiran Terminal Feri Sultan Abdul Halim (PSAH) itu.

“Orang ramai berhak mengetahui punca perlanggaran, sama ada langkah keselamatan yang mencukupi telah dilaksanakan dan sama ada sebarang kegagalan dalam navigasi, komunikasi, pengurusan trafik atau prosedur lain menyumbang kepada kejadian itu.

“Dapatan ini juga sepatutnya membantu mencegah kejadian seperti itu pada masa hadapan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, CAP mengalu-alukan siasatan SPPP terhadap insiden yang mengakibatkan 21 penumpang di atas feri cedera itu dan menggesa semua langkah perlu diambil bagi mencegah kejadian sama berulang.

Katanya, siasatan juga perlu menentukan sama ada Sistem Pengurusan Trafik Kapal (VTMS) yang dilaksanakan SPPP pada Jun lalu sedang memantau kedua-dua kapal ketika kejadian.

“VTMS mempunyai keupayaan memantau pergerakan kapal melalui sistem seperti radar dan Sistem Pengenalan Automatik (AIS).

“Rekodnya berpotensi menentukan kedudukan, kelajuan, hala tuju dan pergerakan kedua-dua kapal sebelum perlanggaran,” katanya.

Tambah Mohideen, siasatan bukan sahaja perlu meneliti tindakan feri dan MV Mekar Jaya, malah keberkesanan pengaturan pengurusan trafik sedia ada termasuk VTMS.

“Adalah juga penting untuk menentukan sama ada sebarang amaran atau komunikasi telah dikeluarkan kepada mana-mana kapal sebelum perlanggaran.

“Sementara itu, mereka yang bertanggungjawab atas perlanggaran itu mestilah dipertanggungjawabkan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here