KOTA TINGGI – Kira-kira 70 peratus daripada 17 hektar hutan berhampiran jirat Cina di Bukit Pelali dan Jalan Bypass Sebana Cove-Punggal, di sini sudah berjaya dipadamkan setakat tengah hari tadi.
Pegawai Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sebana Cove, Pegawai Bomba Tinggi II Abd Rahim Abdul Rani berkata, kerja-kerja pemadaman di kawasan tanah gambut itu dilakukan tanpa henti sejak kira-kira 5 petang kelmarin.
“Usaha pemadaman kini menumpukan usaha menangani saki-baki kebakaran bertompok di kawasan terjejas. Setakat ini kita telah berjaya memadamkan kawasan seluas 12 hektar.

“Kawasan operasi dibahagikan kepada dua sektor utama iaitu Sektor A merangkumi 13 hektar dan Sektor B seluas empat hektar.
“Bagi Sektor A, pemadaman dilakukan secara semburan terus menggunakan dua aliran sepanjang 121 meter (400 kaki) bersama pam angkut dan takungan air daripada jentera tangki air bomba serta Syarikat Air Johor (SAJ).
“Di Sektor B pula pasukan pemadam menggunakan satu aliran sepanjang 91 meter (300 kaki) dengan dua pancutan air,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas mengenai cabaran di lapangan, Abd Rahim memberitahu, tiupan angin kencang serta struktur muka bumi hutan paya gambut menyukarkan pergerakan anggota dan jentera pemadam.
Selain itu katanya, keadaan api yang menyala secara bertompok-tompok di dalam lapisan tanah gambut menuntut kawalan serta pemadaman yang lebih teliti.
Beliau menambah, seramai 42 pegawai dan anggota daripada pelbagai agensi penyelamat digerakkan ke lokasi kejadian di bawah penyeliaan Komander Operasi Kanan, Timbalan Penguasa Bomba Baharuddin Idris.

“Kekuatan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) melibatkan 20 Pegawai dan anggota dari BBP Sebana Cove, BBP Punggai, BBP Bandar Penawar, BBP Sungai Rengit serta Pejabat Zon 2.
“Operasi turut mendapat kerjasama 22 anggota agensi lain merangkumi SAJ, Jabatan Alam Sekitar (JAS), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS),” katanya.
Katanya, logistik di lokasi kejadi turut diperkukuh dengan penggunaan pelbagai jentera berat termasuk sebuah jentera pengorek amfibia milik JPS bagi membina parit penghalang, selain jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan tangki air.
Langkah pemantauan berkala di kawasan terjejas dan sekitarnya terus dipertingkatkan bagi memastikan tiada cetusan api baharu berlaku, katanya.- MalaysiaGazette
















