Sebuah helikopter Perkhidmatan Doktor Udara terhempas berhampiran Lapangan Terbang (STOLport) Long Lellang, Sarawak, petang tadi. Foto tular di media sosial

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memantau rapi insiden sebuah helikopter Perkhidmatan Doktor Udara yang dilaporkan terhempas berhampiran Lapangan Terbang (STOLport) Long Lellang, Sarawak, petang tadi.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, KKM bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa keselamatan, pasukan penyelamat serta agensi penerbangan berkaitan bagi mendapatkan maklumat tepat dan terkini dari lokasi kejadian.

Menurut beliau, kementerian sedang berusaha menghubungi waris serta ahli keluarga mangsa yang terlibat bagi memberikan sokongan sewajarnya.

“Saya amat berdukacita apabila menerima laporan awal berhubung insiden sebuah helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (Flying Doctor Service – FDS) KKM yang dilaporkan terhempas pada petang ini.

“Berdasarkan maklumat awal yang diterima, penerbangan yang berlepas dari Miri dikendalikan seorang juruterbang dan membawa empat petugas kesihatan KKM yang sedang menjalankan tugas rasmi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, empat petugas kesihatan terbabit terdiri daripada seorang Pegawai Perubatan, seorang Penolong Pegawai Perubatan (PPP) dan dua jururawat.

Bagaimanapun, katanya, status kesemua kru dan penumpang serta punca kejadian masih belum dapat dipastikan setakat ini.

“Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) bersama pihak perubatan dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) telah berada di lokasi kejadian dan operasi sedang giat dijalankan,” ujarnya.

Sehubungan itu, Dzulkefly memohon kerjasama pihak media dan orang awam supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan.

Katanya, tindakan itu penting bagi menghormati perasaan ahli keluarga mangsa, selain memastikan hanya maklumat yang sahih disebarkan kepada umum.

“Sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa setelah mendapat pengesahan rasmi daripada pihak berkuasa.

“Sama-sama kita doakan agar segala urusan pencarian dan menyelamat dipermudahkan,” katanya. – MalaysiaGazette

Helikopter Flying Doctor Service bawa lima penumpang terhempas di Ulu Baram

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here