Lim Boon Sik didakwa atas pertuduhan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan di Mahkamah Sesyen Pulau Pinang hari ini.

GEORGE TOWN – Seorang pelayan restoran mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan cuba membunuh seorang lelaki dengan melanggar mangsa menggunakan sebuah kereta dalam kejadian rusuhan bersenjata di Ayer Itam, bulan lalu.

Tertuduh, Lim Boon Sik, 19, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan dalam bahasa Hokkien di hadapan Hakim Juraidah Abbas.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa melanggar Yeap Jhun Ee, 25, menggunakan Perodua Axia nombor pendaftaran PQF 8672 dengan mengetahui perbuatan itu boleh menyebabkan kematian mangsa.

Kesalahan itu didakwa dilakukan kira-kira jam 12.30 tengah malam di tepi Jalan Paya Terubong 3, Bandar Baru di sini, pada 29 Ogos lalu.

Bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda.

Jika perbuatan itu menyebabkan kecederaan kepada mana-mana orang, pesalah boleh dihukum penjara seumur hidup atau penjara sehingga 20 tahun.

Ketika prosiding Timbalan Pendakwa Raya Anuarul Hakim Abdul Muen menawarkan jaminan RM10,000 serta syarat tambahan iaitu tertuduh dilarang menganggu saksi dan mangsa serta lapor diri di balai polis berdekatan.

Bagaimanapun, peguam, Ms Tan yang mewakili Boon Sik mohon jaminan minima atas alasan anak guamnya masih muda dan tiada risiko melarikan diri.

“Anak guam saya mempunyai alamat tepat di negeri ini dan janji tidak akan mengganggu saksi pendakwaan, justeru saya mohon mahkamah menggunakan budi bicara bagi membenarkan jaminan,” katanya.

Hakim kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan perlu lapor diri di balai polis setiap 1 haribulan sehingga kes selesai serta dilarang mengganggu saksi pendakwaan.

Kes akan disebut semua pada 7 Oktober depan bagi serahan dokumen.

Pergaduhan di Ayer Itam membabitkan Geng 04 – Polis

Geng 04 merusuh: 10 lagi lelaki ditahan

Media sebelum ini melaporkan polis menahan 23 lelaki dalam beberapa siri serbuan di negeri ini dan Selangor susulan rusuhan bersenjata membabitkan dua kumpulan Geng 04 di Ayer Itam di sini, pada 29 Ogos lalu.

Difahamkan, mangsa yang dilanggar tertuduh mengalami kecederaan parah selain patah kaki kiri. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here