ISKANDAR PUTERI – Pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Xisco Munoz menyifatkan disiplin dan komitmen ditunjukkan anak buahnya adalah faktor yang melayakkan ke suku akhir Piala FA dengan agregat 14-1 selepas menewaskan UM-Damansara United 10-0, malam tadi.
Pengendali kelahiran Sepanyol itu gembira dengan perkembangan tersebut terutama mampu mengekalkan rekod tanpa bolos.
“Saya sangat gembira dengan persembahan pasukan. Keputusan perlawanan adalah satu hal, tetapi yang paling penting ialah bagaimana pasukan bersiap sedia, memahami nilai kelab ini dan memberikan 100 peratus dalam setiap perlawanan.
“Rekod tanpa bolos juga amat penting buat kami. Sebelum ini saya agak berang dengan situasi bolos, namun hari ini para pemain membuktikan mereka memberikan segalanya di atas padang,” katanya dalam sidang akhbar selepas perlawanan itu.
Mengulas mengenai ketumpulan penyudah penyerang, Jairo Da Silva yang melepaskan beberapa peluang keemasan, Munoz meminta semua pihak agar memberikan masa dan bersabar dengan pemain berkenaan.
Jelasnya, beliau tidak bimbang kerana perkara paling utama bagi seorang penyerang adalah kebolehan berada di posisi tepat untuk mencipta peluang di hadapan pintu gol.
“Sebagai bekas penyerang, saya faham situasinya. Yang menjadi masalah adalah jika seseorang pemain beraksi tetapi langsung tidak mendapat peluang.
“Jairo terlepas fasa pra-musim dan baru pulih daripada kecederaan panjang, jadi kita perlu bersabar. Saya yakin gol akan menjelma tidak lama lagi,” jelasnya.
Dalam pada itu, bekas pengendali Watford FC itu turut memberi pujian khusus kepada pemain muda, Daniesh Amirruddin yang tampil berani dan menunjukkan keyakinan tinggi apabila dimasukkan pada babak kedua.
Beliau menganggap pemain JDT III berusia 20 tahun sebagai salah satu produk cemerlang Akademi JDT hasil kerja keras barisan kejurulatihan dalam mempersiapkan pemain muda sebelum diserap ke skuad utama.
“Persembahannya menakjubkan. Dia mempunyai kepantasan, pergerakan yang baik dan paling penting, personaliti yang besar untuk beraksi. Syabas kepada jurulatih di akademi kerana menyediakan pemain yang sentiasa bersedia apabila dipanggil,” katanya.
Mengenai lawan di peringkat suku akhir sama ada Penang FC atau Melaka FC, beliau enggan terlalu memikirkannya sebaliknya mahu memberi tumpuan penuh kepada perlawanan Liga Super dan Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) sebelum bermulanya rehat antarabangsa.
“Fokus kami kini adalah perlawanan seterusnya dalam liga. Tidak kira siapa pun lawan di suku akhir nanti, kami sentiasa berikan aksi maksimum dalam setiap pertandingan,” ujarnya.- MalaysiaGazette
















