KUALA LUMPUR – Kira-kira 10,000 pekerja yang sebelum ini memilih untuk tidak menyertai LINDUNG 24 Jam mengubah keputusan dan kembali mencarum semula dalam skim perlindungan berkenaan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO, Datuk Seri Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, pekerja terbabit kini boleh menyertai semula skim itu pada bila-bila masa tanpa dikenakan had tempoh untuk berbuat demikian.
Menurut beliau, kemudahan berkenaan mula dibuka pada 2 September lalu selepas tempoh memilih untuk tidak menyertai skim berkenaan berakhir pada 31 Ogos.
Perkembangan itu bagaimanapun disifatkan penting memandangkan 52 peratus daripada pekerja yang memilih untuk tidak menyertai LINDUNG 24 Jam terdiri daripada mereka yang bergaji bawah RM3,500.
“Keadaan ini amat membimbangkan kerana majoriti golongan berkenaan tidak mempunyai liputan insurans seperti dilaporkan Bank Negara Malaysia.
“Keadaan ini menjadikan mereka sebagai kelompok berisiko tinggi yang akan terjejas akibat kejutan kewangan sekiranya mereka ditimpa musibah di luar waktu bekerja,” katanya dalam sidang media di Menara Perkeso di sini hari ini.

Mohammed Azman berkata, data Bank Negara Malaysia pada 2024 menunjukkan hanya 45.5 peratus rakyat Malaysia mempunyai insurans hayat, manakala kadar penyertaan dalam kalangan kumpulan B40 jauh lebih rendah, iaitu sekitar empat peratus.
Lebih membimbangkan, katanya, pekerja yang memilih untuk tidak menyertai skim itu banyak tertumpu di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya yang merangkumi 53 peratus.
Johor pula menyumbang 11 peratus, Pulau Pinang sembilan peratus, manakala baki 28 peratus membabitkan pekerja di negeri-negeri lain.
Beliau berkata, tumpuan tinggi di tiga kawasan berkenaan mempunyai kaitan dengan kepadatan penduduk serta aktiviti ekonomi yang rancak dan dinamik, yang turut mendedahkan pekerja kepada risiko kemalangan lebih ketara.
Dalam perkembangan sama, PERKESO turut mendapati terdapat individu yang sebelum ini memilih untuk tidak menyertai skim itu tetapi kemudian mengemukakan tuntutan selepas ditimpa kemalangan di luar waktu bekerja.
Mohammed Azman berkata, keadaan tersebut seharusnya menjadi peringatan bahawa keputusan untuk tidak mendapatkan perlindungan boleh memberi kesan apabila berlaku kejadian tidak dijangka.
“Perlindungan sosial perlu mengikuti pekerja, bukan pekerja yang menyesuaikan diri dengan perlindungan kerana jika hanya terhad kepada lokasi waktu bekerja, perlindungan itu tidak akan benar-benar menyeluruh,” tegasnya.
Beliau berkata, pekerja yang kembali menyertai LINDUNG 24 Jam boleh berbuat demikian secara dalam talian tanpa sebarang had tempoh untuk mencarum semula.
Sementara itu, pekerja yang memilih untuk kekal dalam skim berkenaan akan terus dilindungi selagi memenuhi syarat di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4), selaras dengan prinsip ‘Once In, Always In’. -MalaysiaGazette
















